KUALA LUMPUR: Buat kali pertama dalam sejarah, Malaysia berjaya merekodkan pendapatan menerusi sektor e-dagang dengan jumlah melepasi RM1 trilion yang dicatatkan pada 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Mahadhir Aziz, jumlah tersebut mampu ditambah menjelang akhir tahun ini.

Malah jelasnya, Malaysia ketika ini berada pada landasan yang betul dalam mencapai aspirasi negara iaitu merekodkan RM1.65 trilion menjelang 2025.

“Ini disokong menlalui pendekatan satu negara dalam pelan hala tuju strategik e-dagang atau National e-Commerce Strategic Roadmap (NESR) yang diterajui oleh MDEC. NESR merupakan satu batu loncatan ke arah dagangan digital iaitu dengan memanfaatkan peluang-peluang yang ada dalam pendigitalan,” jelasnya pada Majlis Pelancaran #JomCelikDigital Dengan Meta yang diadakan secara maya hari ini.

Tambahnya, perdagangan digital Malaysia dijangka mendapat faedah yang ketara menerusi ratifikasi perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah dimeterai.

Malaysia merupakan antara 15 negara yang telah menandatangani perjanjian tersebut yang mana asasnya merupakan perjanjian perdagangan bebas yang terbesar di dunia setakat ini.

“Ia bermakna perniagaan tempatan kini mempunyai akses keperluan yang luas dalam blok perdagangan terbesar di dunia. Berdasarkan perkembangan terbaharu berkenaan, MDEC dan kerajaan Malaysia komited untuk memastikan semua rakyat memiliki kemahiran dan juga peralatan bagi meraih faedah daripada ekonomi digital,” jelasnya ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Pengarah Meta Malaysia Nicole Tan.

Menerusi program-program yang disediakan oleh MDEC katanya, usahawan-usahawan terutamanya membabitkan sektor perusahan kecil dan sederhana dan juga mikro mampu mengadaptasikan produk jualan mereka dengan lebih berkesan sehingga ke peringkat global.

Malah katanya, program seperti  Go eCommerce Onboarding and Shop Malaysia Online setakat Oktober tahun lepas telah membantu lebih 500,000 perniagaan untuk mengguna pakai platform e-dagang dan juga sistem e-bayar.

Secara keseluruhannya jelas beliau, kesemua usahawan tersebut telah berjaya menjana lebih 85 juta transaksi dengan nilai barangan kasar lebih RM4.6 bilion.

“Yang paling penting daripada 500 ribu perniagaan berkenaan, 157 ribu adalah membabitkan usahawan wanita.

“MDEC akan berusaha untuk mengukuh dan mengembangkan ekosistem ekonomi digital yang saling menyokong antara satu sama lain.” Jelasnya lagi.

MDEC juga akan terus menjalinkan kerjasama erat bersama Meta Malaysia sebagai rakan ekosistem utama untuk terus menyediakan sokongan penting menerusi kepakaran dan juga program-program yang ada di Meta Malaysia.

Menurut Nicol inisiatif program #JomCelikDigital Dengan Meta terdiri daripada 4 Program Peningkatan Kemahiran Digital yang merangkumi seluruh rangkaian aplikasi Meta.

Katanya ia merangkumi Meta Boost, Pasar WhatsApp, IG Academy dan juga Meta Blueprint for Higher Education Program.

Ia jelasnya secara tidak langsung akan memberi tumpuan penting untuk meningkat dan merangsang daya tahan ekonomi digital negara, seterusnya membantu rakyat serta perniagaan yang terkesan akibat COVID-19.

Selain itu, ekonomi digital gelombang baharu ini juga mampu mewujudkan pelbagai peluang perniagaan serta pekerjaan, sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat secara menyeluruh, termasuk komuniti di luar bandar.