KUALA LUMPUR: Sektor perkhidmatan di Asia dijangka berkembang dan kembali normal pada 2023 selepas dirangsang oleh pembukaan semula sepenuhnya ekonomi China, kata Eastspring Investments (Eastspring).

Pengurus portfolio ekuiti Asia firma itu, Sundeep Bihani berkata Singapura, Thailand dan Vietnam adalah antara negara yang akan mendapat manfaat daripada penyambungan semula sepenuhnya aktiviti ekonomi di rantau ini.

"Sektor perkhidmatan mewakili satu perempat daripada pasaran Asia dan 2023 akan menjadi tahun pertama Asia dibuka semula sepenuhnya, secara keseluruhan kita akan menyaksikan sektor perkhidmatan berkembang serta kembali normal, ini akan mendorong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Apabila semua ini berlaku, kita akan melihat pelbagai bahagian ekonomi serta saham yang berkaitan dengan perjalanan, pengiklanan, makanan dan minuman untuk mendapat manfaat serta mewujudkan pertumbuhan pendapatan," katanya pada webinar prospek pasaran Eastspring 2023.

Sundeep berpendapat pembukaan semula sempadan serta penyambungan aktiviti ekonomi China akan membuka jalan kepada normalisasi dan pertumbuhan sektor perkhidmatan di Asia untuk kembali ke tahap sebelum COVID-19.

Beliau berkata China mempunyai impak besar terhadap ekonomi perkhidmatan di Asia dan peningkatan permintaan perjalanan, berikutan sekatan yang lebih longgar di seluruh Asia, akan membantu pemain dalam industri itu pulih bermula tahun ini.

Sundeep juga menekankan bahawa sektor kewangan juga dijangka pulih daripada mampatan hasil dan penurunan pulangan atas ekuiti disebabkan kadar faedah yang rendah sebelum ini.

"Kadar faedah kini meningkat dan merangsang tekanan positif bagi pendapatan bank, manakala inflasi di Asia masih baik dan seimbang, tidak keluar daripada jajaran normal.

"Selain itu, pelaburan modal di Asia juga mula ketara sekitar usaha penyahkarbonan, manakala kepelbagaian rantaian bekalan dan permintaan modal kerja yang tinggi berikutan kenaikan inflasi akan membantu bank," katanya.

-- BERNAMA