KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM2.53 bilion dalam Belanjawan 2024 bagi perbelanjaan mengurus dan melaksanakan pembangunan negeri.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.33 bilion atau 52.6 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.2 bilion bagi pembangunan.

Selain itu, beliau menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.2 bilion tahun depan berdasarkan rekod pencapaian pada Ogos 2022 dan September 2023.

“Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2024 adalah premium tanah sebanyak RM 890.94 juta bersamaan 40.5 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.

“Penyumbang kedua terbesar hasil cukai tanah sebanyak RM622.65 juta (28.3 peratus) dan ketiga pemberian persekutuan berjumlah RM212.96 juta, 9.7 peratus daripada pendapatan 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 bertemakan, Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Jumaat.

Belanjawan Selangor 2024 meliputi empat teras iaitu Pemangkin pelaburan berkualiti, menjana pendapatan tinggi; Mengangkat pendidikan bestari, menjamin alam sekitar lestari; Menaungi kebajikan rakyat; serta Mengangkat kesatuan ummah.

Membentangkan lagi, Amirudin berkata Belanjawan Selangor 2024 turut mengalami defisit berjumlah RM330 juta.

Jelasnya, defisit berkenaan adalah lebih rendah berbanding tahun 2023 iaitu pengurangan sebanyak RM120 juta.

Perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan merupakan komponen terbesar dalam perbelanjaan mengurus iaitu mencakupi 45.2 peratus, antaranya kenaikan gaji penjawat awam kontrak, elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain serta petugas masjid.