SHAH ALAM:Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK)  khusus untuk mendigitalisasikan urus tadbir tenaga kerja bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia merupakan sebuah lagi inisiatif transformasi digital selepas pelancaran Penjejakan Kontak secara “automation” melalui QR code, SELangkah yang membantu peniaga dan individu menjalani kehidupan seharian dengan lebih selamat.

"Sebelum penularan wabak COVID-19 tahun ini, Kerajaan Negeri telah menyedari bahawa pekerja atau pengusaha tidak lagi terikat dengan satu lokasi bekerja dan perlu merakamkan kehadiran menggunakan “punch card” di pejabat.

"Tren baru-baru ini juga telah melihatkan lebih banyak syarikat membenarkan pekerja mereka untuk “work from home” atau lokasi-lokasi lain, dengan adanya pelbagai teknologi terkini seperti “video conferencing” untuk mengadakan mesyuarat, dan tren ini telah meningkat sejak pelaksanaan PKP tahun ini,' katanya semasa ucapan perasmian PRODUTK melalui rakaman video di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Khamis.

Ujarnya, World Economic Forum juga telah menjangkakan bahawa tren ini tidak akan menurun kerana banyak syarikat berpendapat bahawa produktiviti telah meningkat dengan pengaturan kerja yang lebih fleksibel seperti bekerja dari rumah atau tempat lain.

"Melalui PENJANA, Kerajaan Pusat juga telah menyediakan insentif khas untuk pengaturan kerja fleksibel. Inilah kebiasaan baharu yang harus diamal dan diterapkan dalam kehidupan seharian. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri Selangor, bersama-sama Invest Selangor, prihatin terhadap kelangsungan ekonomi syarikat-syarikat IKS dan telah memperkenalkan PRODUTK untuk membantu mereka menjadi lebih produktif dan berdaya saing dalam era Industri 4.0 ini," ujar beliau lagi.

Selain membantu syarikat IKS dalam proses transformasi digital, PRODUTK katanya membolehkan syarikat IKS menjalankan operasi perniagaan dengan selamat dan melindungi kesihatan awam serta memusatkan sistem urus tadbir dan mengautomasikan laporan tenaga kerja mereka untuk meningkatkan produktiviti syarikat.

"Walaupun masih dibelenggu dengan pandemik COVID19, namun dengan kerjasama semua pihak yang hadir pada hari ini, kita dapat melancarkan “Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK)” dalam keadaan yang selamat dan terkawal.

"Saya amat berharap agar Program ini akan menjadi pencetus transformasi digital, bukan sahaja untuk syarikat-syarikat IKS, bahkan juga untuk kesemua aspek kehidupan sosial serta ekonomi di Negeri Selangor.

"Saya juga berharap Invest Selangor Berhad akan terus mempertingkatkan lagi usaha untuk menarik pelaburan ke negeri Selangor serta memberi sokongan kepada syarikat-syarikat IKS," tambahnya.

Dua vendor telah dipilih untuk menawarkan sistem mereka kepada syarikat IKS Selangor ialah KiplePay dan Timetec.

Antara  kriteria yang perlu dipenuhi Syarikat IKS bagi menyertai program berkenaan adalah pemilik perniagaan warganegara Malaysia dan memiliki kakitangan tidak melebihi 200 orang dalam sektor pembuatan serta tidak lebih 75 orang bagi sektor perkhidmatan.

Pendaftaran boleh dibuat antara 1 Oktober hingga 31 Disember 2020 untuk menikmati langganan Program Digitalisasi Tenaga Kerja percuma selama tiga bulan.

Untuk maklumat lanjut, layari http://investselangor.my/PRODUTK