LABUAN: Pihak berkepentingan pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa (IBFC) Malaysia menggesa kepada semakan semula yang menyeluruh terhadap dasar perniagaan sedia ada untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan asing.

Pengerusi Dewan Perniagaan Labuan (LCC) Daniel Doughty berkata Wilayah Persekutuan Labuan telah mencapai tahap apabila semakan semula dasar adalah penting untuk memastikan kemakmuran yang mampan dan daya saing global.

"Apabila landskap ekonomi global berkembang dan wujud cabaran baharu, keperluan untuk menyemak semula dasar sedia ada adalah penting," katanya dalam temu bual dengan Bernama hari ini, sambil menambah komuniti perniagaan dan penggubal dasar menyokong semakan semula dasar perniagaan Labuan.

Katanya kepelbagaian ekonomi, keperluan untuk meningkatkan daya saing Labuan serta pembangunan mampan, selain fleksibiliti kawal selia dan keperluan untuk menarik pelaburan langsung asing menjadi faktor utama untuk menyokong permintaan ini.

Beliau berkata di sebalik status pusat kewangannya, terdapat konsensus yang semakin meningkat bahawa kepelbagaian dalam sektor lain adalah penting untuk mengurangkan kebergantungan yang berlebihan kepada perkhidmatan kewangan.

"Menggalakkan pelaburan dalam sektor teknologi, tenaga boleh baharu, pelancongan dan pembuatan dapat menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan," katanya.

Beliau berkata bagi meningkatkan daya saing, negara jiran dan pusat kewangan antarabangsa sentiasa menyesuaikan dasar mereka untuk menarik pelabur dan kekal kompetitif.

Oleh itu, katanya semakan semula dasar dapat membantu mengenal pasti bidang untuk ditambah baik, menyelaraskan proses birokrasi dan menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan secara keseluruhan.

Doughty berkata pemeriksaan menyeluruh terhadap rangka kerja kawal selia sedia ada dapat membawa kepada mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih berdaya maju dan responsif, terutamanya dengan gesaan hari ini kepada pembangunan mampan.

"Dengan mencapai keseimbangan yang baik antara perlindungan pelabur dan pemudahcaraan perniagaan, Labuan dapat mewujudkan ekosistem yang menggalakkan inovasi dan kreativiti," katanya.

Kesedaran global yang semakin meningkat terhadap keperluan untuk mempunyai amalan perniagaan yang mampan akan membolehkan Labuan dibentuk semula dengan menggabungkan inisiatif hijau untuk menggalakkan amalan mesra alam sekitar, katanya.

Diiktiraf sebagai hab perniagaan dan kewangan antarabangsa, Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) telah ditubuhkan pada 1990 untuk menggalakkan perniagaan kewangan dan bukan kewangan luar pesisir.

"Labuan telah berjaya menarik bank luar pesisir, syarikat insurans, syarikat amanah dan institusi kewangan lain berdasarkan insentif cukai yang menarik dan rangka kerja pengawalseliaan yang menyokong.

"Lokasinya yang strategik di tengah-tengah Asia Tenggara juga membolehkannya menjadi pusat pemindahan barangan dan perkhidmatan yang penting, menggalakkan perdagangan dan pelaburan di rantau ini," katanya.

Katanya pasaran global berkembang dengan cepat dan menyemak semula dasar untuk menawarkan insentif menarik, pelepasan cukai dan kemudahan yang lebih baik untuk kemasukan syarikat asing dapat meningkatkan tarikan Labuan dengan ketara.

Beliau mencadangkan pasukan petugas yang terdiri daripada pegawai kerajaan, pakar industri dan pemimpin perniagaan dibentuk untuk menilai dasar sedia ada.

"Matlamatnya ialah untuk berbincang dengan komuniti perniagaan tempatan, pelabur antarabangsa dan badan kawal selia untuk mengenal pasti bidang untuk ditambah baik bagi mewujudkan rangka kerja dasar yang lebih mampan," katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan supaya mengadakan proses perundingan awam untuk mendapatkan maklum balas bagi memastikan semakan semula dasar adalah inklusif dan mewakili pelbagai kepentingan Labuan.

-- BERNAMA