SHAH ALAM: Semakan menurun keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia oleh Bank Dunia kepada 4.5 peratus bagi 2021 telah dijangkakan, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bank Dunia baru-baru ini menurunkan unjuran pertumbuhannya bagi KDNK Malaysia buat kali kedua kepada 4.5 peratus bagi 2021 - daripada 6.0 peratus yang diunjurkan pada Mac dan 6.7 peratus pada 2020 selepas mengambil kira peningkatan jangkitan kes COVID-19 serta program pemberian vaksin yang lebih perlahan daripada dijangkakan.

"Kami membangkitkan isu KDNK pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pagi ini, kami mengambil kira semakan terbaharu oleh Bank Dunia itu untuk menyemak semula pertumbuhan kita bagi 2021.

"(Ia sebelum ini) diunjurkan pada 6.0 peratus tetapi kini telah disemak semula dengan diturunkan kepada 4.5 peratus dan sudah tentunya ia berkait dengan keputusan kerajaan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

"Kita tidak ada pilihan lain, kita perlu ambil keputusan berani untuk mengimbangi antara hidup dan kehidupan dan itu adalah keputusan yang telah kita ambil, tetapi ia memberi impak ekonomi," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat vaksinasi di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata pelbagai pakej rangsangan ekonomi kerajaan yang berjumlah RM380 bilion telah berjaya meringankan impak daripada kawalan pergerakan penuh yang membawa kepada beberapa petunjuk ekonomi positif pada suku pertama 2021.

Beliau juga berkata kerajaan telah memperhalusi beberapa pakej ekonomi untuk membantu perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana dan PKS mikro.

-- BERNAMA