DUNIA
Kumpulan E3 Eropah desak Iran kekal terlibat dalam diplomasi

Rundingan tidak langsung antara Iran dan Amerika Syarikat sedang berlangsung ketika Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 13 Jun, yang mencetuskan serangan balas oleh Tehran. - AP
GENEVA: Diplomat tertinggi Eropah pada Jumaat menekankan keperluan mendesak untuk mengekalkan dialog dengan Iran susulan pertemuan di Geneva yang bertujuan meredakan ketegangan serantau serta memulihkan semula rundingan mengenai program nuklear Tehran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- EU dan negara E3 (UK, Perancis, Jerman) menekankan kepentingan mengekalkan dialog terbuka dengan Iran bagi meredakan ketegangan serantau dan meneruskan rundingan nuklear, terutamanya selepas serangan Israel pada 13 Jun dan tindak balas Iran.
- Ketua diplomat EU dan menteri luar E3 menyatakan komitmen mereka terhadap rundingan diplomatik yang merangkumi isu nuklear dan keselamatan serantau, serta menggesa Iran untuk terus berbincang secara terbuka termasuk dengan Amerika Syarikat.
- Iran bersedia untuk kembali ke meja rundingan, tetapi menegaskan pertahanan negaranya tidak boleh dirunding dan mengkritik E3 serta EU kerana tidak mengecam serangan ke atas Iran.
Bercakap selepas pertemuan itu, Kallas menegaskan bahawa "peningkatan konflik serantau tidak menguntungkan sesiapa", sekali gus menekankan kepentingan mengekalkan saluran komunikasi terbuka dengan Iran.
"Kami bersetuju untuk berbincang bukan sahaja isu nuklear, tetapi juga isu lebih luas yang berkaitan, dan teruskan rundingan bagi mencapai kemajuan," katanya.
Setiausaha Luar UK, David Lammy turut menggesa Tehran supaya kekal dalam proses rundingan.
"Kami komited untuk meneruskan rundingan yang sedang berlangsung dengan Iran dan menyeru Tehran supaya terus berbincang dengan Amerika Syarikat," ujarnya.
"Ini saat yang amat genting, dan sangat penting untuk kita elak daripada melihat konflik ini terus meningkat di rantau ini."
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot pula menegaskan bahawa inisiatif diplomatik berkenaan dirancang secara rapi bersama sekutu utama dan boleh menjadi asas kepada rundingan yang lebih menyeluruh.
"Kami percaya inisiatif diplomatik ini harus membuka jalan ke arah perundingan.
"Menteri luar Iran menyatakan kesediaan untuk berdialog, dan kami menjangkakan Iran bersikap terbuka, termasuk dengan Amerika Syarikat untuk mencapai penyelesaian yang dirundingkan secara aman - memandangkan krisis ini bukan sahaja mengancam Timur Tengah tetapi juga Eropah," katanya.
Dalam sidang media berasingan, Araghchi menegaskan bahawa keupayaan pertahanan Iran "tidak boleh dirunding".
"Iran bersedia mempertimbangkan semula pendekatan diplomatik sekiranya pencerobohan dihentikan dan pihak yang menyerang bertanggungjawab," katanya, merujuk kepada Israel.
Beliau turut menyuarakan rasa kecewa terhadap E3 dan EU kerana tidak mengecam serangan ke atas Iran.
"Kami menyokong kesinambungan rundingan dengan E3 dan EU serta menyatakan kesediaan untuk bertemu semula dalam masa terdekat," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami