KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menyusut sedikit selepas mencatatkan keuntungan minggu lepas dan dibuka rendah pada hari Isnin berikutan sentimen berhati-hati di bursa tempatan selain mengambil petunjuk prestasi lemah semalaman Wall Street pada Jumaat, kata seorang penganalisis.

Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun sebanyak 0.20 peratus atau 2.90 mata kepada 1,475.64 daripada 1,478.54 pada penutupan Jumaat lepas.

Pasaran memulakan urus niaga pagi ini dengan menyaksikan 1.82 mata lebih rendah untuk mencatatkan paras 1,476.72.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan, kaunter rugi mendahului kaunter untung 174 berbanding 123, manakala 276 kaunter tidak berubah, 1,672 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 242.28 juta unit bernilai RM86.02 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah pada Jumaat lepas ketika peniaga bercanggah antara inflasi dan kemelesetan di tengah-tengah prospek kenaikan kadar yang lebih tinggi oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat tahun depan.

"Justeru, Purata Perindustrian Dow Jones kehilangan 282 mata manakala Nasdaq merosot sebanyak 105 mata dengan hasil 10 tahun Amerika Syarikat meningkat sedikit pada 3.49 peratus.

"Sebaliknya FBM KLCI ditutup dalam zon positif, didorong beberapa aktiviti pembelian saat akhir. Namun, kami berpendapat ia tidak bertahan lama kerana kami menjangkakan sentimen keseluruhan akan kekal berhati-hati di bursa tempatan," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, indeks dijangka bergerak dalam julat 1,465 hingga 1,480 hari ini.

Sementara itu, Thong berkata harga minyak mentah telah mula lemah secara keseluruhan berikutan kebimbangan berlakunya kemelesetan dan peningkatan dalam inventori apabila minyak mentah Brent merosot kepada US$79 setong.

Dengan demikian, pasaran dijangka menyaksikan beberapa kegiatan pengambilan untung ke atas saham minyak dan gas hari ini berikutan prestasi yang agak baik minggu lepas, katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.71, Petronas Chemicals turun enam sen menjadi RM8.45 dan Public Bank tidak berubah pada RM4.38, manakala CIMB menokok tujuh sen kepada RM5.85 dan TNB menambah empat sen kepada RM9.19 .

Bagi saham aktif, Advance Synergy meningkat setengah sen kepada 22.5 sen, KNM Group naik satu sen menjadi 5.5 sen, Sunview Group menambah tiga sen kepada 53.5 sen dan Infoline Tec Group memperoleh 11.5 sen kepada 96 sen, manakala Serba Dinamik Holdings susut setengah sen kepada 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 17.30 mata kepada 10,589.91, Indeks FBMT 100 lemah 17.27 mata menjadi 10,295.02 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 35.87 mata kepada 10,712.55.

Indeks FBM 70 pula merosot 8.78 mata kepada 12,917.88 dan Indeks FBM ACE turun 5.30 mata kepada 5,456.64.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan 106.27 mata lebih rendah kepada 6,931.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.58 mata menjadi 180.68, dan Indeks Tenaga turun 2.42 mata kepada 788.89.

Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 19.32 mata kepada 16,582.82.

-- BERNAMA