KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi Jumaat ini rendah sedikit di tengah-tengah sentimen pasaran yang berhati-hati menjelang pilihan raya di enam negeri esok.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.66 mata kepada 1,454.27 daripada 1,458.93 pada penutup semalam.

Indeks utama dibuka 0.46 mata lebih rendah pada paras 1,458.47.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 134 berbalas 118, manakala 215 kaunter tidak berubah, 1,852 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 174.97 juta unit bernilai RM64.21 juta.

Pengundi di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan mengundi esok.

Justeru, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen mungkin bertukar menjadi sedikit berhati-hati hari ini, dan menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,455-1,465.

Begitu juga, Malacca Securities Sdn Bhd turut mengunjurkan keadaan yang sama sambil berpendapat saham berharga rendah akan diniagakan dalam julat yang ketat di tengah-tengah musim pelaporan korporat yang sedang berlangsung.

"Untuk hala tuju seterusnya, pelabur akan memantau keputusan pilihan raya negeri serta data indeks harga pengeluar Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan malam ini," katanya dalam nota hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM8.96, Public Bank dan IHH Healthcare turun satu sen masing-masing mencatatkan harga RM4.14 dan RM5.99, CIMB kehilangan tujuh sen kepada RM5.59 dan Tenaga merosot lapan sen kepada RM9.65 manakala Petronas Chemicals dan CelcomDigi masing-masing tidak berubah pada RM6.86 dan RM4.40

Bagi saham aktif, Classita naik setengah sen kepada 10 sen, Salutica menambah 4.5 sen menjadi 70.5 sen dan Bahvest peroleh satu sen untuk mencatatkan 34.5 sen dan Tanco kekal pada 54.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 24.6 mata kepada 10,676.79, Indeks FBMT 100 susut 28.99 mata kepada 10,367.89 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 22.16 mata menjadi 10,901.5 dan Indeks FBM 70 menguncup 21.15 mata kepada 13,965.84.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE naik 15.32 mata kepada 5,306.04.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 43.62 mata menjadi 16,259.22, Indeks Perladangan kerugian 21.64 mata untuk mencatatkan paras 7,075.77, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.04 mata kepada 167.03 dan Indeks Tenaga memperoleh 0.68 mata kepada 828.35.

-- BERNAMA