SHAH ALAM: Dalam satu lagi tindakan mengejut, Serba Dinamik Holdings Berhad memfailkan saman terhadap firma audit Ernst & Young Consulting (E&Y) yang didakwanya telah menyalurkan maklumat kepada Suruhanjaya Sekuriti tanpa kebenaran, apalagi memaklumkan kepada syarikat.

Dalam pemaklumannya kepada Bursa Malaysia semalam, Serba Dinamik mengumumkan fail saman itu telah dikemukakan di mahkamah pada 5 November lalu.

Pada 3 November, syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas ini turut memfailkan saman terhadap Bursa Malaysia yang didakwanya bertindak melampaui bidang kuasanya apabila menggantung dagangan saham syarikat pada 22 Oktober lalu.

Dalam saman terhadap E&Y ini, Serba Dinamik menuntut perisytiharaan bahawa firma audit itu bukan suatu `juruaudit’ seperti di dalam maksud Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) dan pelantikannya oleh Serba Dinamik, sebagai mematuhi MMLR adalah berasaskan salah fahaman dan oleh itu, pelantikan dan surat pelantikan antara kedua-dua pihak dianggap terbatal atau void ab initio.

Serba Dinamik mencabar status E&Y sebagai juruaudit seperti dimaksudkan di bawah MMLR dan Akta Syarikat 2016 dan dengan fakta bahawa mereka tidak berdaftar dengan Lembaga Pemantauan Audit (AOB).

Kebebasan firma perunding itu juga dipersoalkan kerana mereka merupakan juruaudit bersekutu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Menurut Serba Dinamik, Ernst & Young tidak menjawab pun kepadanya mengenai persoalan sama ada mereka sebenarnya `juruaudit’.

Menurut saman tersebut, Ernst & Young Consulting telah bertindak bertentangan dengan surat pelantikan apabila ia memberikan `Dapatan Fakta Terkini’ kepada Suruhanjaya Sekuriti tanpa mendapatkan kebenaran Serba Dinamik dan malah, tidak memaklumkan pun kepada syarikat.

Serba Dinamik juga berharap memperoleh perintah mahkamah terhadap Ernst & Young supaya dihalang mengeluarkan dan menerbitkan sebarang bentuk pendapat mengenai Serba Dinamik Holdings Berhad.

Bersama dengan perintah penamatan khidmat dan tuntutan atas kerugian, Serba Dinamik juga memohon perintah injuksi interim sementara menanti Saman Asal sepenuhnya. Ia bertujuan menghalang Ernst & Young daripada menerbitkan sebarang pandangan atau pendapat mengenai Serba Dinamik Holdings Berhad.

BACA: Selepas Serba Dinamik, dagangan SCIB pula digantung Bursa Malaysia

BACA: Serba Dinamik fail saman pemula terhadap Bursa Malaysia

Mahkamah telah menetapkan pendengaran mengenai permohonan injuksi itu pada 11 November, berasal dari tarikh yang ditetapkan bagi pengurusan kes pada 17 November ini.

Menurut pemerhati, tindakan berani Serba Dinamik boleh dilihat sebagai usaha sebuah entiti korporat untuk berani berdepan dalam hal had kekuasaan dan melindungi reputasi mereka.

Ini termasuk daripada segi mengapa Bursa Malaysia mendesak diwujudkan `Kajian Semula Juruaudit Khas’ dalam isu asal Serba Dinamik dengan KPMG.


Artikel asal di DagangNews.com