Invest Selangor Bhd. (Invest Selangor) menyasarkan mampu menjana transaksi perniagaan sebanyak RM350 juta menerusi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 14 hingga 17 Oktober ini.

Penganjuran SIBS pada tahun lalu berjaya meraih transaksi bernilai RM247.3 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Teng Chang Khim berkata, SIBS edisi keempat kali ini membabitkan penyertaan lebih 850 pempamer tempatan dan antarabangsa serta dijangka menerima sebanyak 40,000 pengunjung.

“SIBS merupakan inisiatif strategi dagangan dan globalisasi utama dalam meletakkan Selangor sebagai pasaran terulung bagi usahawan dan pelabur yang berhasrat untuk menjalankan perniagaan di rantau Asia Tenggara.

“Ia juga menjadikan Selangor sebagai laluan dagangan ke negara-negara ASEAN,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran SIBS 2020 dan International Muslim Friendly Affiliated Network (IMFAN) dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hassan Azhari Idris.

SIBS 2020 tersebut meliputi empat acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE), Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC), Persidangan Perniagaan Selangor-ASEAN (SABC) serta Ekspo R&D dan Inovasi Selangor (SRIE).

Sementara itu, Halal International Selangor dengan kerjasama HIJRAH Selangor melancarkan IMFAN sebagai inisiatif kepada usahawan makro bagi membina prinsip dan amalan halal dalam perniagaan mereka.

IMFAN merupakan program penarafan berperingkat dengan kemudahan berstruktur bagi membantu pemain industri kecil dan sederhana (IKS) mendapatkan status halal pada permulaan perniagaan mereka.

Chang Khim berkata, program itu sekali gus mewujudkan peluang kepada syarikat IKS yang mempunyai potensi pemilikan sijil halal selain membina keupayaan keusahawanan sebagai persediaan menceburi dagangan domestik dan antarabangsa.

“Sekiranya IMFAN berjaya diperluaskan ke peringkat antarabangsa, mereka akan menjadi sekumpulan syarikat IKS yang berpotensi tinggi dan sekali gus dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

“Selangor akan menjadi peneraju dalam pelaksanaan program rintis ini sebelum ia diperluaskan negeri-negeri lain. Kami juga menyasarkan sebanyak 2,000 syarikat makro untuk terlibat sama dalam IMFAN dalam tempoh sehingga akhir tahun ini,” katanya.