KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 berjaya merekodkan transaksi pelaburan bernilai RM2.9 bilion pada hari pertama penganjurannya.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata nilai transaksi pelaburan berkenaan melebihi sasaran iaitu RM1.5 bilion untuk keseluruhan tempoh empat hari penganjurannya.

“Semalam sahaja kita sudah berjaya menandatangani lapan memorandum persefahaman (MOU) dan memorandum perjanjian (MOA).

“Jumlah nilai transaksi pelaburan yang diterima adalah tinggi walaupun baru memasuki hari pertama.

"Ini merupakan satu kejayaan kepada SIBS yang memasuki tahun ketujuh penganjurannya,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata antara isu tumpuan termasuk mencari solusi kepada isu keterjaminan makanan yang dihadapi negara pada ketika ini.

“Melalui SIBS sektor makanan dan minuman (F&B) merangkumi jumlah yang agak tinggi iaitu 33 peratus pada edisi kali ini.

“Kerajaan Negeri Selangor melalui SIBS turut mengharapkan potensi pengeluar barangan makanan dari luar negara yang menjadi pempamer di SIBS menjadi sumber tambahan bagi memasarkan produk makanan ke pasaran tempatan, selain perkongsian teknologi agro yang terkini.

“Diharapkan ia dapat menjadi ruang dan platform yang baik untuk sama sama menangani cabaran yang dihadapi negara ketika ini,” tambahnya.

SIBS 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dijangka menarik 50,000 pengunjung perdagangan dalam negara dan serantau seiring dengan temanya ‘Selangor Pintu Masuk ke ASEAN’.

Sidang kemuncak empat hari ini berjaya menarik penglibatan pelbagai sektor termasuk makanan, teknologi, perubatan serta kajian dan pembangunan sebagai pempamer.