BISNES
Sidec tawar ganjaran sehingga RM300,000 buat PKS runcit menerusi Retail-X 2025

Peserta Retail-X 2025 berpeluang merebut ganjaran bernilai sehingga RM300,000, termasuk bimbingan perniagaan, akses teknologi dan promosi jenama. - Foto Sidec
KUALA LUMPUR: Usahawan runcit tempatan kini berpeluang melonjakkan potensi digital perniagaan mereka apabila Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) melancarkan Retail-X 2025, sebuah program pemecut utama negeri yang menawarkan ganjaran dan sokongan bernilai sehingga RM300,000.
Permohonan bagi menyertai program selama 12 minggu ini dibuka sehingga 27 Jun 2025, menyasarkan penyertaan 30 syarikat kecil dan sederhana (PKS) berasaskan pengguna (B2C) dalam lima sektor utama iaitu Fesyen dan Gaya Hidup, Kesihatan, Kecantikan dan Kesejahteraan, Makanan dan Minuman, Kediaman dan Peralatan Rumah, serta Jenama Sosial dan Impak Komuniti.
Retail-X 2025 memberi tumpuan kepada transformasi digital sektor runcit dengan memperkenalkan modul-modul seperti pemasaran berasaskan kecerdasan buatan (AI), pengurusan inventori pintar, strategi penjualan pelbagai saluran (omnisaluran), serta peningkatan pengalaman pelanggan secara peribadi.
Antara manfaat yang ditawarkan termasuk peluang latihan dan lawatan inovasi ke luar negara, sesi bimbingan oleh mentor khusus, perundingan teknologi, pendedahan media, bengkel keusahawanan, pas masuk ke persidangan, peluang penjenamaan dan jaringan strategik, serta penggunaan kemudahan pejabat bersama (hot-desk) di Selangor Sandbox @ PFCC selama setahun untuk dua pekerja setiap syarikat.
Pelbagai manfaat menarik ditawarkan dalam Retail-X. - Gambar Sidec
Peserta juga bakal menerima bimbingan daripada barisan pakar industri termasuk wakil daripada AEON, RHL Ventures, Carsome, Shopline, Signature Market, Mystartr, Ata Plus, F&N dan The Lego Group.
Kemuncak program ini ialah ‘Final Demo Day’ yang bakal menyaksikan 20 peserta terbaik membentangkan idea dan model perniagaan mereka di hadapan pelabur, pemimpin industri dan rakan strategik.
Sepuluh peserta terbaik akan dipilih sebagai pemenang dan berpeluang membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM50,000, termasuk wang tunai, trofi dan peluang pelaburan eksklusif.
Syarikat yang ingin menyertai perlu memenuhi syarat berikut:
• Berdaftar di Malaysia dan diterajui oleh pengasas atau pengasas bersama;
• Tidak melebihi tujuh tahun penubuhan;
• Menjana Nilai Barangan Kasar (GMV) tahunan antara RM1 juta hingga RM10 juta;
• Mempunyai sekurang-kurangnya satu tahun rekod kewangan bertaudit;
• Komited untuk menyertai keseluruhan program dari Julai hingga September 2025.
Retail-X merupakan kesinambungan kepada program ECX sebelum ini dan antara inisiatif strategik Sidec dalam mengangkat Selangor sebagai hab ekonomi digital dan inovasi di rantau Asia Tenggara.
PKS berpotensi yang berminat boleh membuat permohonan di laman rasmi Sidec di www.sidec.com.my/retail-x. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Encik Firman di talian +60 19-352 4921.

Pemohon boleh mengimbas kod QR ini untuk menyertai program Retail-X secara dalam talian. - Gambar Sidec
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami