KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd mencatatkan keuntungan bersih rendah sebanyak RM1.10 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2022 (TK2022) berbanding RM1.43 bilion pada tahun sebelumnya yang termasuk keuntungan sekali sebanyak RM272 juta daripada penjualan pegangan kumpulan dalam Tesco Malaysia.

Tidak termasuk keuntungan itu, untung bersih kumpulan turun sedikit sebanyak 4.3 peratus berikutan keuntungan rendah daripada perniagaan perindustrian dan motor kumpulan di China, yang menerima kesan daripada penurunan kuantiti dalam seluruh industri bagi peralatan berat, kekurangan inventori dan sekatan akibat COVID-19, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil rendah sebanyak RM42.50 bilion bagi tahun itu berbanding RM44.30 bilion pada Tahun Kewangan 2021.

Bagi suku keempat yang berakhir 30 Jun, 2022 (S4 TK2022), keuntungan bersih naik kepada hampir 32 peratus sebanyak RM278 juta berbanding RM211 juta setahun lalu, berikutan peningkatan keuntungan daripada bahagian perindustrian dan perbelanjaan cukai rendah, kata syarikat itu.

Bagaimanapun, hasil berkurangan kepada RM10.85 bilion berbanding RM11.30 bilion tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, konglomerat itu melaporkan keuntungan lebih satu bilion tahun ini meskipun pelbagai cabaran yang disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan dan kos operasi tinggi akibat daripada isu buruh.

Sime Darby mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 7.5 sen sesaham bagi Suku Keempat 2022, menjadikan jumlah pembayaran dividen bagi Tahun Kewangan 2022 sebanyak 11.5 sen sesaham atau RM783 juta, mewakili pembayaran 71 peratus daripada keuntungan bersih.

Sementara itu, Jeffri berkata, meskipun bahagian motor berdepan tahun yang sukar terutamanya di China, bahagian di Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan meskipun dua bulan sekatan pergerakan dalam tahun kewangan, mencatatkan kenaikan keuntungan lebih daripada 50 peratus daripada operasi hasil yang disokong oleh pengedaran BMW dan Porsche, dan operasi pemasangan.

"Pencapaian membanggakan kami bagi Tahun Kewangan 2022 adalah pembukaan kilang pemasangan kami bagi Porsche di Kulim, yang pertama di luar Eropah, yang akan mula mengedarkan Porsche Cayennes yang dipasang tempatan pada Mac tahun ini. Sambutan daripada pelanggan sangat menggalakkan," katanya.

Bagi bahagian perindustrian, harga komoditi yang kukuh memacu permintaan peralatan di pasaran utamanya di Australia.

Bagaimanapun, kos overhed tinggi telah mengurangkan margin.

Di China, aktiviti pembinaan yang perlahan telah menjejsakan pasaran peralatan berat, katanya.

"Bagaimanapun, kami akan terus menumpukan kepada pelan rasionalisasi bukan teras kami. Kami berjaya memeterai perjanjian untuk menjual Weifang Port pada Julai yang menandakan berakhirnya operasi kami dalam perniagaan logistik," kata Jeffri.

Pada masa depan, Sime Darby akan menjadi entitii yang akan menumpukan kepada bahagian automotif dan peralatan berat.

Syarikat itu berkata, tenaga kerja mahirnya yang disokong oleh jenama terbaik dunia dalam peralatan berat dan automotof akan membantu ia kekal berada di landasan.

Kedudukan kewangan kukuhnya juga akan membolehkan syarikat itu mengambil kesempatan daripada sebarang peluang yang mungkin datang untuk mengukuhkan perniagaan terasnya dan membangun keupayaan tambahan di sepanjang rantaian nilai. - BERNAMA