KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd melaporkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM345 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2022 berbanding RM633 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelum ini.

Syarikat itu mendapat manfaat daripada keuntungan sekali sahaja iaitu sebanyak RM272 juta dalam tempoh itu susulan pelupusan kepentingannya dalam Tesco Malaysia.

Pendapatan untuk suku berkaitan susut 6.3 peratus pada RM10.54 bilion daripada RM11.24 bilion, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 31 Dis 2021, keuntungan bersih menurun kepada RM581 juta berbanding RM914 juta yang direkodkan pada tahun lepas tanpa dirangkumkan keuntungan daripada pelupusan Tesco Malaysia.

Pendapatan jatuh 4.1 peratus kepada RM21.21 bilion untuk tempoh tersebut daripada RM22.12 bilion.

Sime Darby dalam satu kenyataan berasingan berkata keuntungan bersih terasnya untuk suku kedua tahun kewangan 2022 adalah 4.4 peratus lebih rendah pada RM345 juta berbanding dengan RM361 juta pada suku yang sama sebelum ini disebabkan keuntungan yang lebih lemah daripada operasi bahagian perindustrian di China dan Australasia.

"Kami mendapat keuntungan sebanyak RM272 juta daripada penjualan saham kumpulan dalam Tesco Malaysia tahun lepas.

"Pada tahap keuntungan teras sahaja, bagi suku kedua tahun kewangan 2022, kami mampu menyampaikan hasil yang berdaya tahan walaupun persekitaran pasaran yang sukar dan ini mencerminkan keberkesanan asas serta strategi kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson.

Beliau menjelaskan ekonomi China, yang didorong oleh perbelanjaan pengguna, kekal kukuh tetapi kelembapan perbelanjaan infrastruktur telah membawa kepada kelembapan permintaan untuk peralatan berat serta ditambah lagi dengan persaingan sengit daripada pengeluar peralatan asal China, memberi kesan kepada perniagaan perindustriannya di republik tersebut.

Walaupun terdapat beberapa sekatan pergerakan di beberapa pasarannya, permintaan untuk kenderaan kekal mantap.

"Terdapat beberapa kesan daripada kekangan bekalan dan ini telah menjejaskan jumlah jualan terutamanya di China.

"Daripada segi lain, operasi Malaysia kami didorong oleh margin yang lebih tinggi daripada jualan kereta manakala penghantaran kenderaan komersial kami di New Zealand meningkat dengan ketara pada suku kedua," katanya.

China adalah pasaran kereta terbesar di dunia dan pasaran yang paling penting bagi bahagian permotoran kumpulan itu.

Jeffri berkata kumpulan itu tetap mempercayai potensi pertumbuhan jangka panjangnya, dan oleh itu, akan terus berkembang di republik berkenaan dalam pengagihan kenderaan mewah dan elektrik.

Kumpulan tetap komited kepada strategi pertumbuhan jangka panjang dengan memberi tumpuan kepada pengembangan organik dan bukan organik untuk bahagian-bahagian permotoran serta perindustrian di Asia Pasifik.

"Kami percaya dengan kehadiran kami di 19 negara di rantau ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia dan lembaran imbangan kami yang agak mantap akan mampu menempatkan kami dalam kedudukan yang terbaik bagi menangani masalah jangka pendek di hadapan termasuk mendapatkan apa-apa peluang yang berpotensi," katanya.

Syarikat telah mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 4.0 sen sesaham, yang perlu dibayar menjelang 11 Mei 2022.

-- BERNAMA