KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd (Sime Darby) menjangkakan lebih banyak cabaran akan dihadapi pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 kerana keadaan inflasi yang tinggi dan peningkatan kos pinjaman yang memberi kesan kepada sentimen pengguna, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson.

Beliau berkata cabaran dalam rantaian bekalan belum diselesaikan sepenuhnya dan sekatan perjalanan di China akibat penularan semula COVID-19 juga telah menjejaskan perniagaan kumpulan itu.

"Saya masih berkeyakinan bahawa Sime Darby mempunyai perniagaan yang luas di Asia Pasifik dan kami mempunyai pasukan kukuh menguruskan perniagaan," katanya pada sidang media secara maya selepas mengumumkan prestasi Sime Darby untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022, pada Rabu.

Sime Darby mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM1.10 bilion untuk tahun kewangan 2022 berbanding RM1.43 bilion setahun sebelumnya, ia termasuk keuntungan sekali sahaja sebanyak RM272 juta hasil daripada pelupusan kepentingan kumpulan dalam Tesco Malaysia.

Tidak termasuk keuntungan, keuntungan bersih kumpulan merosot sedikit sebanyak 4.3 peratus disebabkan oleh keuntungan lebih rendah daripada perniagaan perindustrian dan permotorannya di China yang terjejas oleh kemerosotan seluruh industri dalam jumlah peralatan berat, kekurangan inventori dan sekatan perjalanan akibat pandemik COVID-19.

Hasil diperoleh adalah lebih rendah pada RM42.50 bilion bagi tahun tersebut berbanding RM44.30 bilion pada tahun kewangan 2021.

Mengenai potensi penggabungan dan pengambilalihan, Jeffri berkata kumpulan itu sedang menilai peluang untuk mengembangkan perniagaan permotorannya di China dan negara-negara lain.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bahagian Motor Sime Darby Andrew Basham berkata pada masa ini, perniagaan kenderaan elektrik (EV) kumpulan menyumbang kira-kira 4.0 ke 4.5 peratus kepada pendapatan Sime Darby Motors pada tahun kewangan 2022.

"Memandangkan nilai perolehan sedia ada dan organisasi yang kami bekerjasama sedang cuba meningkatkan kereta EV mereka, kami menjangkakan untuk melihat peratusan yang lebih tinggi daripada itu," katanya.

-- BERNAMA