KUALA LUMPUR: Pengedar unit amanah dalam talian FSMOne Malaysia menjangka situasi politik terkini di negara ini akan mencetuskan kegelisahan di pasaran Malaysia, namun kesannya mungkin tidak terlalu buruk berbanding tahun lepas.

"Ini berikutan peristiwa pada tahun ini mungkin tidak terlalu mengejutkan banyak pihak.

"Secara perbandingan, peristiwa yang didedahkan semasa Langkah Sheraton pada akhir Februari sehingga awal Mac 2020 yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan kecundang dan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan, lebih memberi kejutan kepada pasaran berbanding kali ini," menurut FSMOne dalam laman webnya pada Isnin.

Muhyiddin yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Isnin berkata beliau telah kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau 'caretaker' sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Penyusutan sehari terbesar petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) adalah -2.69 peratus pada 24 Feb 2020 apabila Tun Dr Mahathir Mohamed meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Kabinet dibubarkan dan Pakatan Harapan hilang majoriti di Parlimen selepas sekumpulan Ahli Parlimen menarik diri daripada pakatan itu.

Selepas itu, KLCI diniagakan tidak banyak berubah sehinggalah Perdana Menteri baharu disahkan.

FSMOne yakin banyak situasi negatif telah diambil kira di pasaran dengan Indeks KLCI diniagakan dalam aliran menurun sejak awal 2021 dengan pelbagai peristiwa politik yang berlaku sepanjang tahun ini.

"Oleh itu, kami jangka pasaran akan terus tidak menentu sehinggalah keadaan politik stabil, sama seperti yang berlaku pada 2020," katanya.

-- BERNAMA