Skip to main content

Bisnes

SME Bank lantik Samad Majid Zain sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu

Sumber: Astro AWANI
SME Bank berkata, pelantikan Samad dijangka mengukuhkan lagi peranan bank itu sebagai sebahagian daripada Kumpulan BPMB menerusi penyediaan perkhidmatan kewangan dan pembangunan yang lebih bersepadu. - Foto SME Bank
Advertisement

KUALA LUMPUR: SME Bank melantik Samad Majid Zain sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 1 Julai 2026.

Sebelum ini, beliau telah pun  menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif.

Pelantikan itu diumumkan SME Bank yang merupakan anak syarikat Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dengan Lembaga Pengarah menyifatkan Samad sebagai pemimpin yang berpengalaman dan berupaya meneruskan mandat pembangunan bank bagi memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pengerusi SME Bank, Zulkiflee Hashim berkata pelantikan tersebut mencerminkan keyakinan penuh Lembaga Pengarah terhadap kepimpinan, pengalaman luas serta komitmen Samad dalam memacu agenda pembangunan institusi itu.

Menurut beliau, sejak menyertai SME Bank sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) pada November 2021, Samad memainkan peranan penting dalam memperkukuh tadbir urus kewangan, meningkatkan daya tahan organisasi serta memastikan pelaksanaan strategi bank berjalan lancar.

"Sepanjang tempoh beliau memangku jawatan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Samad berjaya memastikan momentum strategik SME Bank terus dipertahankan selain memperkukuh mandat bank dalam menyokong pertumbuhan dan daya tahan PMKS di negara ini.

"Lembaga Pengarah yakin beliau akan terus memperkukuh asas yang telah dibina bagi meningkatkan impak pembangunan SME Bank, memperkasa PMKS Malaysia serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara dalam jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.

Pengalaman Luas

Sebelum menyertai SME Bank, Samad pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan di sebuah bank pelaburan tempatan yang disokong institusi perbankan.

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang audit luar di sebuah firma audit bertaraf ‘Big Four’ sebelum menyertai bahagian jaminan pengurusan di sebuah konglomerat multinasional tempatan.

Secara keseluruhannya, Samad mempunyai lebih tiga dekad pengalaman dalam bidang kewangan, audit, perbendaharaan, perbankan pelaburan, kewangan korporat serta kepimpinan operasi, termasuk lebih 19 tahun memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan dalam industri perkhidmatan kewangan.

Dari segi kelayakan profesional, beliau merupakan Chartered Banker yang diiktiraf oleh Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) selain bergelar Fellow Certified Practising Accountant (FCPA) daripada CPA Australia.

Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan dari Universiti Western Australia serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam pengkhususan Pengurusan Teknologi Maklumat daripada Universiti Multimedia.

SME Bank berkata, pelantikan Samad dijangka mengukuhkan lagi peranan bank itu sebagai sebahagian daripada Kumpulan BPMB menerusi penyediaan perkhidmatan kewangan dan pembangunan yang lebih bersepadu, sekali gus mempercepat pertumbuhan PMKS yang mampan serta menyokong agenda pembangunan ekonomi negara. - DagangNews.com

 

Must Watch Video

Advertisement