Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan miskin kerana membantu golongan miskin, sebaliknya kerosakan ekonomi berpunca daripada salah laku dan rasuah.
- Kerajaan memperuntukkan RM16 bilion untuk Sumbangan Asas Rahmah dan Sumbangan Tunai Rahmah tahun ini serta menaikkan gaji penjawat awam dan gaji minimum.
- Anwar menekankan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah adalah tanggungjawab kerajaan dan perlu disertai pengurusan kewangan serta tadbir urus yang baik.
KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menjadi miskin atau muflis kerana membantu golongan miskin sebaliknya kerosakan ekonomi negara berpunca daripada salah laku kepimpinan, rasuah dan ketirisan.
Beliau berkata bantuan kepada golongan berpendapatan rendah adalah tanggungjawab kerajaan bagi memastikan hasil pembangunan negara dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat.
Anwar berkata sebagai contoh, kerajaan memperuntukkan RM16 bilion bagi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada tahun ini selain melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam serta gaji minimum bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Tak ada negara dan kerajaan di dunia yang jadi miskin kerana tolong orang miskin,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan di sini.
Perdana Menteri juga berkata negara boleh mengalami kemerosotan sekiranya kekayaan awam disalahgunakan untuk kepentingan kelompok tertentu, selain amalan rasuah dan sikap tamak haloba dalam pentadbiran.
Beliau berkata prinsip membantu golongan memerlukan perlu terus dipertahankan selagi kerajaan mengamalkan pengurusan kewangan dan tadbir urus yang baik.
-- BERNAMA