KUALA LUMPUR:
Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara sememangnya teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.

Aktiviti ekonomi yang kini dibuka kembali menyaksikan sektor ini bangkit kembali melalui pelbagai jenis sokongan yang disediakan oleh kerajaan.

SME Corp antara agensi yang aktif menyokong kebangkitan semula PMKS dan kali ini melalui penganjuran Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2021 (SMIDEX 2021).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy pelbagai aktiviti disediakan melalui SMIDEX 2021 bermula 1 Disember sehingga 31 Disember yang julung kalinya diadakan sepenuhnya secara dalam talian melalui portal MyAssistMSME.

“Terdapat banyak aktiviti-aktiviti yang menanti PMKS seperti e-pameran, sesi biz-talk, technology need pitching, khidmat nasihat dalam talian, sesi padanan perniagaan dan banyak lagi.

“Sesi biz-talk - sesi perkongsian maklumat oleh rakan-rakan strategik, ahli-ahli panel mengenai pelbagai topik perniagaan seperti pengurusan kewangan, digitalisasi, penjenamaan dan pengurusan perniagaan,” katanya dalam temu bual bersama Niaga AWANI pada Isnin.

Bertemakan PMKS: Bangkit Kembali, SMIDEX 2021 telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Disember lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Selain itu Rizal berkata melalui Technology Need Pitching, ia memberi peluang kepada PMKS yang berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka bersama penyedia teknologi yang berpotensi bseperti Universiti, Penyelidikan dan rakan strategik seperti Oracle NetSuite, TM, Huawei, SHRDC.

“Bukan itu sahaja, MatchMe – sesi padanan perniagaan yang menghubungkan PMKS dengan syarikat-syarikat anchor seperti MNC, GLC, Pasar Raya dan Syarikat Besar seperti AEON, Lazada, CELCOM, FAMA, UOB dan sebagainya.

“E-Pameran juga membolehkan orang ramai juga boleh datang ke SMIDEX 2021 ini dengan mengunjungi e-pameran di mana terdapat 150 booth pameran maya dari seluruh negara yang menyajikan pelbagai produk dan perkhidmatan,” katanya.

Tambah Rizal melalui model MeetMe yang terdapat di dalam portal MyAssist MSME, ia dapat membantu usahawan mendapatkan khidmat nasihat perniagaan dan perundingan, maklumat kemudahan kewangan, fasilitasi perdagangan dan penjenamaan serta sokongan teknologi secara dalam talian.

“Seramai 112 Kaunselor Perniagaan terlatih yang akan membantu serta memberikan khidmat nasihat secara dalam talian secara percuma kepada para usahawan.

Justeru Rizal berharap SMIDEX 2021 membuka peluang kepada PMKS untuk memperlajari kepentingan memanfaatkan penggunaan teknologi dan pendigitalan sebagai pemangkin bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan, meningkatkan kemahiran serta keupayaan sumber manusia dan mengukuhkan kedudukan aliran tunai perniagaan.