KUALA LUMPUR: Socar, aplikasi sewa kereta terkemuka di Malaysia, yakin dengan prospek pertumbuhannya tahun ini disokong oleh jumlah penyewaan yang tinggi yang dicapai sepanjang 2022 apabila rakyat Malaysia sangat menerima penyelesaian mobiliti mampan yang ditawarkan oleh syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Socar Mobility Malaysia Shylendra Nathan berkata, memandangkan kerajaan telah melonggarkan sekatan perjalanan, perkhidmatan yang ditawarkan oleh Socar terbukti menarik minat pemandu, membolehkan syarikat mencatat pertumbuhan sihat pada 2022.

"Socar menawarkan pemandu cara yang mudah untuk mengakses pelbagai model kereta untuk memenuhi keperluan dan permintaan mereka sambil menyediakan kemungkinan hidup bebas tanpa kereta sepanjang masa.

"Perkongsian kereta juga menawarkan satu lagi mod mobiliti mampan yang mengurangkan bilangan kereta persendirian di jalan raya kita, melengkapkan kaedah lain seperti pengangkutan awam dan e-hailing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sejak sekatan perjalanan ditarik balik, Socar merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan penggunaan meningkat kepada lebih 20,000 daripada 5,000 semasa tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat, menunjukkan permintaan untuk pilihan mobiliti dan perkongsian kereta sebagai pilihan untuk pemandu.

"Perkhidmatan sokongan yang meningkatkan pengalaman seperti perkhidmatan penghantaran dan pengambilan Socar-2-You turut menyaksikan peningkatan dalam permintaan.

"Perkhidmatan pengambilan 24 jam yang baharu sahaja diperkenalkan pada Disember 2022 adalah produk yang terbaharu dalam rangkaian perkhidmatan Socar, ia direka untuk meningkatkan pengalaman mobiliti perkongsian hujung ke hujung untuk pengguna," katanya.

Beliau berkata untuk terus memenuhi pangkalan pelanggan yang semakin meningkat, Socar telah mengembangkan rangkaian model kereta dalam kumpulannya kepada lebih 40 jenis, termasuk pilihan kompak, sedan dan hatchback bagi disesuaikan dengan pelbagai gaya hidup dan kes-kes penggunaannya.

Selain itu, beliau berkata satu lagi pengembangan penting ialah ketibaan Socar di Kota Kinabalu, yang menyertai perkhidmatan sedia ada di Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Melaka dan Johor Bahru.

"Dalam tempoh sembilan bulan sejak berada di Kota Kinabalu, Socar telah menyaksikan lebih 2,000 tempahan yang telah selesai, menunjukkan pertumbuhan yang menjanjikan untuk Malaysia Timur," tambahnya.

-- BERNAMA