Skip to main content

Malaysia

Jenayah komersial di Sarawak meningkat 14.15 peratus, kerugian mencecah RM118.685 juta

Saifullizan memeriksa pasukan kawalan kehormatan PDRM pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di IPK Sarawak, hari ini.  - Gambar Bernama
Saifullizan memeriksa pasukan kawalan kehormatan PDRM pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di IPK Sarawak, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUCHING: Sarawak mencatat peningkatan ketara kes jenayah komersial apabila merekodkan 3,946 kes dengan jumlah kerugian mencecah RM118.685 juta, bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Okt berbanding 3,457 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Saifullizan Ishak berkata angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 489 kes atau 14.15 peratus melibatkan modus operandi seperti penipuan e-dagang, pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan palsu, penipuan jual beli kenderaan dan phone scam.

Sehubungan dengan itu, beliau mengarahkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) berganding bahu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi merangka gerakan kesedaran masyarakat secara besar-besaran serta menyeluruh di seluruh negeri.

Advertisement

"Pada pandangan saya, jenayah komersial, khususnya penipuan dalam talian, memerlukan pendekatan yang berbeza daripada jenayah konvensional.

"Dalam kebanyakan kes penipuan, polis hanya mengetahui sesuatu jenayah itu berlaku setelah mangsa mengalami kerugian dan tampil membuat laporan polis. Pada ketika itu, wang mangsa mungkin telah dipindahkan dan sukar untuk diperoleh kembali," katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi bulan November 2026 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Saifullizan berkata pendekatan proaktif amat diperlukan untuk mendidik orang ramai mengenai cara sindiket memperdayakan mangsa serta kaedah mengenali cubaan penipuan berbanding hanya bergantung kepada tindakan reaktif selepas laporan dibuat.

"Bagi saya, mencegah seratus orang daripada menjadi mangsa penipuan adalah lebih baik daripada menyiasat seratus kes setelah mereka kehilangan wang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan jenayah indeks di Sarawak secara keseluruhannya merekodkan penurunan sebanyak 336 kes atau 8.5 peratus bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Okt 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, yang disumbangkan oleh pengurangan jenayah harta benda.

Bagaimanapun, jenayah kekerasan meningkat sebanyak 35 kes atau tujuh peratus didorong peningkatan kes rogol sebanyak 28 peratus daripada 142 kepada 182 kes, kes mendatangkan kecederaan (252 kepada 255 kes), samun berkawan tanpa senjata (59 kepada 61 kes) serta bunuh (20 kepada 21 kes).

Mengenai usaha membanteras penyalahgunaan dadah, beliau berkata JSJN Sarawak merekodkan 12,338 tangkapan bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Nov tahun ini berbanding 11,274 tangkapan dalam tempoh sama tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 1,064 tangkapan atau 9.4 peratus.

“Nilai rampasan dadah dan racun turut melonjak melebihi 210 peratus daripada RM32.8 juta kepada sekitar RM102 juta, manakala tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 meningkat daripada 16 kepada 33 tangkapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement