Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara rasmi melancarkan aplikasi telefon pintar bagi perkhidmatan e-Info hari ini bagi membolehkan pengguna menyemak dan mendapatkan status pendaftaran perniagaan dalam talian.

Pelancaran aplikasi itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang di sini.

Ia boleh dimuat turun secara percuma dari App Store (IOS) atau Play Store (Android), memudahkan pengguna mendapatkan maklumat sahberkenaan pendaftaran perniagaan dalam talian.

Perkhidmatan SSM e-Info, sebelum ini hanya boleh disemak menerusi laman sesawang SSM di www.ssm.com.my sejak 12 Mei 2006.

Hamzah memberiahu sidang media, maklumat yang boleh diperolehi melalui perkhidmatan itu antaranya info perniagaan, syarikat, gadaian syarikat dan perbandingan maklumat kewangan bagi dua tahun terkini.

"Dengan lebih sembilan juta pengguna telefon pintar di negara ini, kami menjangka e-Info akan melicinkan transaksi perniagaan seperti aktiviti pelaburan dalam negeri dan luar negeri, pembukaan akaun bank, pinjaman kewangan, pengesahan kesahihan dan keutuhan syarikat serta perniagaan dan perlesenan/permit perniagaan," katanya.

Ketika ini, dianggarkan hanya 24,000 perniagaan secara dalam talian di seluruh negara telah berdaftar dengan SSM.

Hamzah turut menjelaskan, perniagaan dalam talian perlu didaftarkan bagi mengelak penipuan pembelian di kalangan pengguna.

"Jika sesebuah perniagaan dalam talian tidak didaftarkan, pemiliknya boleh dikenakan didenda RM50,000 serta dua tahun penjara.

"Kali kedua sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM100,000 dan dipenjara enam tahun," katanya.