KUALA LUMPUR : Jenama Sarawak diperkukuhkan lagi di pasaran Eropah sebagai destinasi unik, baharu dan eksotik menerusi penyertaannya di ITB Berlin yang berlangsung dari 7 sehingga 9 Mac 2023.

Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan rakan-rakan dagangnya berjaya meraih 52 potensi bisnes baharu yang bakal direalisasi tahun ini.

Menurut STB dalam kenyataan pada Jumaat, jangkaan jumlah jualan daripada ITB Berlin 2023 dianggarkan bernilai RM10.5 juta untuk 2023 dan bakal menghasilkan pertumbuhan 20 peratus dari segi jualan daripada pasaran Eropah.

STB turut menyediakan pavilion tersendiri bagi mengetengahkan serta mengukuhkan jenama Sarawak dalam pasaran Eropah, sebagai destinasi ekopelancongan yang terkemuka serta destinasi pilihan di rantau Asean.

"Salah satu agenda penting bagi Sarawak di ITB Berlin ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara STB dan Tischler Reisen AG bagi mewujudkan usahasama dalam meningkatkan visibiliti Sarawak sebagai destinasi pilihan dalam kalangan rakyat Jerman dan sekitar Eropah.

"Usahasama promosi pemasaran luar talian dan atas talian ini bakal melibatkan kira-kira 600 agensi terbaik di Jerman," kata STB.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Pavilion Sarawak mencerminkan kesungguhan negeri itu untuk memacu pelancongan sebagai salah satu penyumbang utama kepada Sarawak.

Tambah beliau, tahun ini, Sarawak menyasarkan kedatangan tiga juta pengunjung memandangkan pelancongan antarabangsa terus pulih daripada pandemik COVID-19.

"Ini merupakan satu pencapaian yang optimistik bagi Sarawak, dengan pertumbuhan lebih 800 peratus dari aspek pendapatan pelancongan pada tahun 2022, yang mencatatkan hampir RM4 bilion, berbanding RM500 juta bagi tahun 2021.

“Festival memainkan peranan penting kepada industri pelancongan Sarawak untuk terus mengukuhkan imejnya sebagai destinasi budaya.

"Salah satu festival utama Sarawak adalah Rainforest World Music Festival (RWMF) yang amat dikenali di peringkat antarabangsa.

"Festival ini akan berlangsung pada 23 hingga 25 Jun tahun ini. Kami amat prihatin bahawa festival mempunyai ‘carbon footprint’ yang agak tinggi dan sisa yang biasanya dihasilkan daripada acara besar sebegini akan mempunyai impak kepada alam sekitar.

"Oleh itu, Sarawak telah mengambil langkah proaktif agar RWMF sentiasa dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan memastikan aspek kemampanan dan mesra alam menjadi keutamaan dalam pelaksanaannya,” ujar beliau.