Skip to main content

Politik

PH kekal kukuh kerana keikhlasan dan sikap saling menghormati - Teo

KULAI, 13 Jun -- Pengerusi DAP Johor merangkap Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di Dataran Flat Cengal, Taman Putri, hari ini.  --fotoBERNAMA
Teo berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Bukit Batu di Dataran Flat Cengal, Taman Putri, Kulai, 13 Jun 2026. --fotoBERNAMA

KULAI: Pakatan Harapan (PH) mampu mengekalkan kerjasama politik yang kukuh dan berpanjangan kerana ia dibina atas dasar keikhlasan, sikap saling menghormati dan memahami perbezaan antara parti komponennya, kata Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching.

Teo, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi, berkata meskipun PKR, DAP dan Amanah mempunyai latar belakang serta ideologi yang berbeza, semua parti dalam gabungan itu berkongsi matlamat sama iaitu membina Malaysia yang lebih baik untuk rakyat.

"Ramai yang bertanya mengapa PKR, DAP dan Amanah mampu bekerjasama dalam tempoh yang panjang sedangkan ada gabungan politik lain yang sering berpecah serta bertukar pendirian.

"Jawapannya mudah, iaitu keikhlasan... kerjasama dalam PH dibina atas dasar saling menghormati dan memahami perbezaan antara parti komponen," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di sini malam tadi, yang turut dihadiri Naib Presiden PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ahli Parlimen Kulai itu turut mengucapkan tahniah kepada penyandang DUN Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern yang diumumkan sekali lagi sebagai calon PH bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri akan datang. 

Beliau juga berkata seluruh jentera PH akan memberikan komitmen dan kerjasama penuh bagi memastikan kemenangan kerusi tersebut.

Edisi ke-16 PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini manakala 27 Jun ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 7 Julai.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement