BISNES
Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2.0 tampil pendekatan inklusif, tangani cabaran masa depan

Pengetahuan kewangan rakyat Malaysia meningkat daripada 60.2 peratus pada 2021 kepada 62.9 peratus pada 2024. Namun, pada hakikatnya, tingkah laku masih tidak banyak berubah, kata Adnan Zaylani. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Kedua (NS2.0) akan digerakkan dengan pendekatan lebih strategik, berkesan dan inklusif bagi menangani cabaran semasa serta mempersiapkan negara menghadapi keperluan masa depan.
Ringkasan AI
- NS2.0 akan dilaksanakan dengan pendekatan lebih strategik dan inklusif, bukan sekadar perkongsian ilmu tetapi menekankan perubahan tingkah laku kewangan rakyat.
- Cabaran utama termasuk: hanya sebahagian kecil rakyat membuat simpanan kecemasan, peningkatan risiko akibat pendigitalan (perbelanjaan semberono, penipuan, pengecualian digital), serta tahap persediaan persaraan yang rendah.
- Malaysia akan memanfaatkan kepelbagaian masyarakat dan memperkukuh literasi kewangan Islam serta penyelidikan FENRC bagi meningkatkan keberkesanan strategi literasi kewangan.
"Pengetahuan kewangan rakyat Malaysia meningkat daripada 60.2 peratus pada 2021 kepada 62.9 peratus pada 2024. Namun, pada hakikatnya, tingkah laku masih tidak banyak berubah," katanya ketika berucap pada pelancaran Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan Keempat, semalam.
NS2.0 dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.
Menurut Adnan Zaylani, hanya 58 peratus rakyat Malaysia yang aktif membuat simpanan untuk masa depan, manakala sebahagian besar masih tidak mampu berdepan kecemasan kewangan bernilai RM1,000.
Beliau menegaskan, perkembangan ini memberi amaran jelas bahawa pengetahuan sahaja tidak memadai, tetapi ia perlu diterjemahkan kepada tindakan, keyakinan dan daya tahan.
Cabaran lain yang turut disentuh beliau termasuk pendigitalan yang mengubah cara masyarakat menguruskan wang mereka, apabila transaksi urus niasa menjadi lebih pantas, mudah dan seolah-olah lebih berpatutan, daripada e-dompet hingga skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL).
"Namun, kemudahan ini hadir bersama risiko. Kajian sama mendapati 31 peratus rakyat Malaysia berbelanja secara semberono dalam talian, manakala kes penipuan semakin meningkat.
"Lebih membimbangkan, wujud risiko pengecualian digital, iaitu mereka yang kurang celik digital atau mempunyai capaian internet lemah berpotensi untuk tercicir. Jadi, kita perlu memastikan literasi kewangan digital bukan sekadar menguasai aplikasi atau platform," katanya.
Malaysia juga, kata beliau, bakal berdepan status negara menua dalam tempoh sedekad akan datang dengan peratusan warga emas yang semakin meningkat setiap tahun, namun tahap persediaan kewangan masih jauh ketinggalan apabila hanya 36 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencapai penanda asas simpanan persaraan.
"Ini bukan sekadar trend demografi, tetapi cabaran kesediaan kewangan yang mempunyai kepentingan nasional.
"Perancangan persaraan, pembiayaan kesihatan, melindungi warga emas daripada penipuan kewangan -- semua ini menuntut tindakan tegas untuk menjamin kesejahteraan mereka pada masa depan," katanya.
Beliau turut menekankan kekuatan unik Malaysia, iaitu kepelbagaian masyarakat berbilang kaum dan agama yang boleh dimanfaatkan bagi menyampaikan pendidikan kewangan secara lebih berkesan.
Langkah yang berpotensi untuk mengukuhkan mesej BNM kepada komuniti Muslim ialah literasi kewangan Islam, yang menyediakan rangka kewangan kukuh berasaskan tingkah laku kewangan yang beretika dan mempunyai tujuan yang jelas, kata beliau.
Di bawah hala tuju strategik baharu ini, BNM juga akan memperkenalkan Komuniti Penyelidikan FEN (FENRC), iaitu platform khusus untuk memperkukuh penyelidikan literasi kewangan berimpak tinggi dengan tumpuan kepada segmen masyarakat yang paling berisiko.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami