BUSINESS

Subsidi petrol: Malaysia komited laksana pemotongan namun belum muktamad tarikh

Astro Awani 16/05/2025 | 10:43 MYT
Penggubal dasar sedang berusaha untuk memastikan pelaksanaan pemotongan subsidi petrol berjalan selancar mungkin. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk melaksanakan pemotongan subsidi petrol pada separuh kedua tahun ini namun belum memuktamadkan tarikh.

Ringkasan AI
  • Komitmen terhadap Rasionalisasi Subsidi: Malaysia akan melaksanakan pemotongan subsidi petrol RON95 pada separuh kedua 2025, yang dijangka menjimatkan RM8 bilion setahun, dengan butiran lanjut akan dikongsi kemudian.
  • Kesannya terhadap Rakyat & Ekonomi: Kajian kerajaan menunjukkan pemotongan subsidi tidak akan menjejaskan kira-kira 90% rakyat, walaupun ada kebimbangan daripada penggubal undang-undang mengenai impaknya terhadap kos pengguna dan keyakinan perniagaan.
  • Strategi Pelaksanaan: Kerajaan berusaha memastikan pelaksanaan pemotongan subsidi berjalan lancar, sambil menangani ketirisan subsidi kepada warga asing, perniagaan, dan golongan berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah itu pada Oktober lalu, yang dijangka menjimatkan RM8 bilion setahun.
“Kerajaan tetap komited untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 pada separuh kedua 2025, dan akan berkongsi butiran lanjut dalam masa terdekat,” kata seorang jurucakap Kementerian Kewangan kepada Bloomberg.
Penggubal undang-undang sebelum ini menggesa kerajaan untuk menangguhkan langkah itu kerana bimbang ia akan menjejaskan keyakinan perniagaan dan meningkatkan kos pengguna.
Bagi meredakan kebimbangan rakyat, Anwar, yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bahawa kajian kerajaan menunjukkan pemotongan subsidi yang dirancang tidak akan memberi kesan kepada kira-kira 90 peratus rakyat.
Penurunan harga minyak global baru-baru ini telah memudahkan penggubal dasar untuk meneruskan langkah berkenaan, ketika gangguan dalam perdagangan global daripada tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meredupkan prospek ekonomi Malaysia.
"Penggubal dasar sedang berusaha untuk memastikan pelaksanaan pemotongan subsidi petrol berjalan "selancar mungkin untuk rakyat Malaysia dan berkesan dalam memenuhi objektifnya".
“Objektif keseluruhan tetap jelas; untuk memastikan kebanyakan rakyat Malaysia terus menikmati RON95 pada harga subsidi sambil menangani ketirisan subsidi kepada warga asing, perniagaan dan mereka berpendapatan tinggi,” tambahnya.
#Anwar Ibrahim #petrol #harga minyak #subsidi #RON95 #Bloomberg