KUALA LUMPUR: Berdasarkan rekod pencapaian yang baik sebagai peneraju global dalam pasaran kapita Islam, Malaysia mempunyai landasan yang kukuh untuk terus berinovasi dalam bidang tersebut, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Melalui langkah tersebut, titah baginda lagi, Malaysia mampu melonjakkan profilnya dalam industri kewangan Islam.

Sultan Nazrin Shah berpandangan, negara ini sudah membuat langkah kanan dalam menyerapkan pertimbangan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pengurusan perniagaan syarikat-syarikat, serta pertimbangan pelaburan oleh penyedia perkhidmatan kewangan.

“Pengawal selia, pemain industri, dan institusi penyelidikan seperti Universiti INCEIF, semuanya telah membantu menjuarai ESG dalam industri kewangan Islam.

“Seperti keperluan ESG baharu diperkenalkan, pihak berkepentingan ini telah menyediakan peraturan dan sokongan penyeliaan, menerajui pembangunan produk dan lain-lain inisiatif strategik,” titah baginda lagi.

Sultan Nazrin Shah bertitah demikian dalam ucapan baginda sempena perasmian kampus baharu Universiti INCEIF di ibu negara, hari ini.

Bagaimanapun baginda bertitah, negara perlu meningkatkan lagi usaha dalam persaingan di peringkat global, jika Malaysia mahu menunjukkan bagaimana kewangan Islam dapat memenuhi kehendak pasaran kewangan yang lebih luas, serta ekonomi global.

Bagi menjadikan Kewangan Islam 2.0 satu realiti, Sultan Nazrin berpandangan, semua pihak terlibat harus memastikan usaha yang lebih sahih, berpaksikan semangat sebenar sistem perundangan Islam, iaitu Maqasid. 

Dalam usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kemakmuran, baginda bertitah, semua pihak juga perlu memberikan tumpuan yang serupa kepada langkah berbuat baik sesama insan, serta terhadap Bumi ini.

“Jadi bagaimana kita menterjemah dan mengartikulasi rangka kerja yang tradisional dan suci ini, kepada penyelesaian yang praktikal, boleh diukur dan dijejaki kembali, untuk menyelesaikan isu kejutan gangguan ini?

“Bagaimana kita dapati memastikan Fiqh, iaitu perundangan Islam, berdaya saing dengan keperluan kewangan moden yang ketat? Ini semua adalah persoalan yang beta tanpa ragu-ragu merasakan, ramai d kalangan anda yang akan berkumpul dan bertanyakan perkara sama dalam kampus baharu ini,” titah Baginda lagi.

Selain itu Sultan Nazrin Shah berpandangan, dalam semua pihak berkaitan menyusuri persoalan yang digariskan melalui pengajian dan penyelidikan di masa akan datang, baginda mahu agar mereka mempertimbangkan beberapa perkara.

Baginda bertitah, dalam melihat keperluan untuk memenuhi ketulenan syariah, dan melaksanakan aspirasi untuk merealisasikan hasrat tersebut, mereka perlu melangkaui sekadar ‘Halal’, untuk mencapai sesuatu yang menghampiri ‘Tayyib’.

“Jadi, daripada sekadar terhenti pada peringkat apa yang dibenarkan, atau mematuhi parameter asas syariah, kita perlu mensasarkan Tayyib – iaitu melepasi peringkat minimum, dan menyeru kebaikan dan kesucian yang lebih mendalam.

“Sesuatu produk itu mungkin dilabelkan sebagai Halal, tetapi adakah ia sebenarnya memberi nilai kepada ekonomi yang lebih meluas dan masyarakat, yang membolehkan ia (produk itu) mendapat cop Halalan Tayyiban?

“Dalam anda menuju ke hadapan, beta menggesa anda untuk mencapai standard tertinggi dalam industri Kewangan Islam. Kerana jika anda berjaya, beta mempunyai keyakinan penuh bahawa bukan sahaja industri ini, tetapi komuniti global juga akan mendapat manfaat,” titah baginda lagi.

Menyentuh lanjut mengenai INCEIF, Sultan Nazrin Shah bertitah, baginda mengambil maklum tentang bagaimana institusi itu berjaya memberi sumbangan secara signifikan terhadap ruang berkaitan Kewangan Islam.

Antara perkara yang mendapat perhatian Tuanku ialah Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-16, serta pengenalan inovasi skim pemilikan rumah menggunakan kontrak Ijarah (sewa), dan Bay’ (jual), yang membolehkan golongan muda memiliki rumah pertama mereka.

Baginda bertitah, pemilikan rumah pertama merupakan isu yang sering menjadi perhatian, khususnya untuk golongan muda, yang terbeban akibat kenaikan harga barang, serta kekurangan peluang pekerjaan yang berkualiti.

Penganjuran Muzakarah dan pelaksanaan inovasi pemilikan rumah seperti itu, menurut baginda, merupakan antara contoh bagaimana INCEIF boleh menyumbang idea dan menzahirkan perbincangan berlandaskan Maqasid, penyelesaian sebenar terhadap beberapa cabaran yang dihadapi masa kini.

“Marilah kita bersama-sama menuju ke arah sasaran ini. Mari kita menjadi sebahagian daripada kelompok yang mahu melaksanakan Tayyib dan kebaikan, memperjuangkan apa yang benar, dan melarang apa yang salah.

“Mari kita memperkasakan pemimpin di semua peringkat untuk menerajui strategi ESG berdasarkan Maqasid, menyerapkan komitmen ESG dan Maqasid yang tulen dalam model operasi, dan juga ke dalam struktur pengurusan masing-masing,” titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah, dalam semua pihak mengadvokasi reformasi kewangan dalam ruang ekonomi global yang konvensional, masih ada keperluan mendesak untuk sistem kewangan Islam memainkan peranannya dalam memulihkan semula dunia ini.

Titah Sultan Nazrin Shah lagi, baginda percaya kampus baharu INCEIF itu mampu menjadi peneraju dalam melaksanakan misi tersebut.