KUALA LUMPUR : Situasi ketidaktentuan ekonomi dan COVID-19 bukan penghalang bagi pengendali pusat beli-belah Sunway untuk terus melebarkan sayap perniagaannya.

Perkara itu dapat dilihat menerusi pembukaan pusat beli -belah Sunway Carnival Mall yang bertapak di Seberang Perai Pulau Pinang yang mula beroperasi hari ini meskipun masih dalam fasa pengubahsuaian.

Pembukaan Sunway Carnival Mall turut menyaksikan ruang runcitnya yang turut diperbesarkan kepada 1 juta kaki persegi selain 80 peratus premis telah mula beroperasi sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, HC Chan berkata, kadar kemasukan premis baharu dijangka terus meningkat bagi tempoh tiga bulan akan datang sebaik sahaja proses ubah suai siap sepenuhnya.

“Pembukaan pusat beli belah ini menawarkan 2,000 peluang pekerjaan baharu khsususnya bagi penduduk setempat.

“Usaha ini selaras dengan objektif kerajaan dalam memulihkan semula keadaan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Chan memberitahu, pusat beli-belah yang menelan belanja sebanyak RM500 juta itu menyaksikan pertambahan sebanyak 60 peratus premis perniagaan termasuk 3,200 tapak parkir kenderaan yang disediakan.

Beliau dalam masa sama menyasarkan seramai 15 juta pengunjung yang bakal hadir ke pusat beli belah tersebut dalam tempoh setahun.

“Pulau Pinang mempunyai peningkatan potensi yang baik dengan kepadatan penduduk seramai 1,500 orang di setiap kawasan.

“Dengan keadaan yang mula untuk kembali normal dalam era peralihan endemik termasuk dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa maka usaha ini dianggap tepat dengan masanya,” katanya lagi.