ISTANBUL: Syarikat penerbangan dijangka mencatatkan keuntungan bersih mencecah AS$9.8 bilion pada 2023 dengan margin 1.2 peratus, lebih dua kali ganda daripada unjuran Disember 2022 iaitu sebanyak AS$4.7 bilion, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) hari ini (AS$1 = RM4.57).

Ia berkata keuntungan dianggarkan mengukuh pada 2023, didorong oleh perkembangan positif termasuk meningkatnya permintaan untuk perjalanan udara.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata prestasi kewangan tahun ini juga mengatasi jangkaan.

"Keuntungan yang lebih kukuh ini disokong oleh beberapa perkembangan positif. China telah menarik balik sekatan COVID-19 lebih awal daripada yang dijangkakan. Hasil kargo kekal melebihi paras prapandemik walaupun kapasitinya tidak meningkat. Dan dari segi kos, terdapat perkara yang melegakan. Walaupun harga bahan api jet masih tinggi, ia telah menjadi sederhana sepanjang separuh pertama tahun ini," kata Walsh dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jumlah hasil dijangka meningkat 9.7 peratus tahun ke tahun kepada US$803 bilion, buat pertama kalinya hasil mendahului paras AS$800 bilion sejak AS$838 bilion dicatatkan pada 2019.

IATA berkata pendapatan daripada penumpang dijangka mencecah AS$546 bilion (+27 peratus pada 2022, -10 peratus pada 2019).

Dengan sekatan COVID-19 dimansuhkan di semua pasaran utama, industri itu dijangka mencapai 87.8 peratus daripada paras pendapatan penumpang bagi setiap kilometer pada 2019 dengan trafik penumpang yang lebih kukuh bagi setiap tahun, tambahnya.

IATA berkata permintaan tinggi untuk perjalanan di kebanyakan pasaran telah mengekalkan hasil yang kukuh dengan penurunan sederhana 1.1 peratus dijangka pada 2023 berbanding 2022, berikutan peningkatan 9.8 peratus pada 2022 dan 3.7 peratus pada 2021.

Bagi 2023, pertumbuhan perbelanjaan dijangka dikawal dengan peningkatan tahunan 8.1 peratus, kata IATA.

Ia berkata kos bahan api jet dijangka secara puratanya pada AS$98.50 setong dengan jumlah bil bahan api sebanyak AS$215 bilion, lebih murah daripada AS$111.90 setong yang sebelum ini dijangkakan pada Disember 2022 dan harga purata AS$135.60 setong pada 2022.

Keuntungan operasi industri penerbangan dijangka mencecah AS$22.4 bilion pada 2023, lebih dua kali ganda daripada keuntungan operasi sebanyak AS$10.1 bilion yang dianggarkan pada 2022.

Kira-kira 4.35 bilion penumpang dijangka melakukan perjalanan pada 2023, iaitu hampir dengan 4.54 bilion penumpang pada 2019.

Walsh berkata ketidaktentuan ekonomi tidak menjejaskan keinginan untuk melakukan perjalanan, walaupun harga tiket mampu menyerap kos bahan api yang meningkat.

"Selepas kerugian teruk yang disebabkan COVID-19, tetapi margin keuntungan bersih sebanyak 1.2 peratus adalah sesuatu yang patut diraikan. Tetapi dengan syarikat penerbangan secara puratanya hanya membuat keuntungan sebanyak AS$2.25 bagi setiap penumpang, membaiki kunci kira-kira dan menyediakan pelabur pulangan yang mampan ke atas modal mereka akan terus menjadi cabaran bagi banyak syarikat penerbangan," tambahnya.

-- BERNAMA