KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkurangan kepada RM3.40 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020 daripada RM4.53 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya berikutan perolehan dan pendapatan kewangan yang lebih rendah.

Syarikat elektrik multinasional itu berkata pendapatan kewangan lebih rendah itu adalah disebabkan kadar faedah lebih rendah dan peningkatan kos pembiayaan melibatkan loji yang baharu beroperasi, Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz di Negeri Sembilan.

"Ini diimbangi oleh kredit cukai ke atas insentif elaun pelaburan semula yang dituntut TNB berdasarkan Akta Kewangan 2020 yang diwartakan kerajaan pada 31 Dis 2020," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Perolehan tahun kewangan 2020 merosot kepada RM43.98 bilion daripada RM50.94 bilion tahun ke tahun, terutamanya disebabkan segmen komersial dan industri yang terjejas akibat penularan COVID-19.

"Turut tersenarai dalam penjualan elektrik yang lebih rendah ini ialah Pelepasan Kos Tidak Seimbang yang berada pada kedudukan lebihan pemulihan sebanyak RM3,034.5 juta berbanding di bawah pemulihan sebanyak RM1,917.9 juta sebelum ini," katanya.

Kumpulan itu mencatatkan pendapatan yang kukuh pada suku keempat 2020 dengan keuntungan bersih yang melonjak kepada RM1.21 bilion daripada RM653.30 juta berikutan perolehan lebih rendah sebanyak RM10.32 bilion daripada RM12.18 bilion tahun lepas.

Menurut TNB, keuntungan bersih yang lebih tinggi pada suku itu disumbangkan terutamanya oleh peningkatan cukai kredit berikutan tuntutan insentif elaun pelaburan semula, manakala perolehan bagi suku itu terjejas khususnya disebabkan kos penjanaan lebih rendah.

"Ini menyebabkan berlakunya peningkatan kos operasi sebanyak RM1,455.0 juta, yang menokok RM105.2 juta atau 7.8 peratus," katanya.

Ahli lembaga pengarah TNB telah meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 18.0 sen sesaham biasa dan dividen khas satu peringkat sebanyak 40.0 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 2020 berjumlah kira-kira RM3,308.7 juta berdasarkan modal saham berbayar RM5.70 juta.

"Tarikh penutupan dan bayaran buku akan diumumkan pada masa yang sesuai," katanya.

Pada masa depan, TNB menjangka tahap pemulihan kumpulan ini yang dicatatkan pada separuh kedua 2020 akan diteruskan pada tahun ini, meskipun wujud beberapa cabaran susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan.

"Bagaimanapun, impak ini akan diimbangi oleh kebanyakan aktiviti ekonomi yang meneruskan operasi. Kumpulan ini telah mengambil langkah berhemah dari segi keperluan kewangan dan operasi untuk memastikannya kekal berdaya tahan," katanya.

-- BERNAMA