Apabila lukisan bernyanyi: M Nasir dan Resonans Muzikal dalam Seni Visual di Galeri PETRONAS

Karya M Nasir (kiri) menjadi jambatan paling jelas antara visual dan muzikal membuktikan bahawa kedua-duanya berkongsi akar yang sama: emosi, ingatan dan pengalaman manusia.
PAMERAN What Song Do You Hear When You See This Painting? yang berlangsung di Galeri PETRONAS, Suria KLCC, tampil melangkaui kerangka pameran seni visual konvensional.
Ia hadir sebagai satu eksperimen estetik yang mengajak khalayak menilai semula cara seni dialami bukan sekadar melalui penglihatan, tetapi menerusi ingatan deria, emosi dan gema muzikal yang terbit secara intuitif dalam kesedaran individu.
Dirasmikan oleh Ketua Galeri PETRONAS, Kerina Fauzi, pameran ini menandakan satu anjakan signifikan dalam pendekatan kuratorial tempatan.
Dalam landskap pasca keterpisahan sosial dan budaya, ketika masyarakat berusaha membina semula rasa kebersamaan selepas tempoh fragmentasi, pameran ini berfungsi sebagai ruang pertemuan antara visual, bunyi batin dan memori kolektif.
Menurut Kerina, seni kontemporari hari ini tidak lagi boleh dibaca secara linear atau tunggal.
Sebaliknya, ia wujud sebagai pengalaman berlapis yang menuntut tafsiran intuitif dan reflektif.
Sejajar dengan pendekatan tersebut, pameran ini tidak mengarahkan pengunjung tentang apa yang perlu dilihat, sebaliknya mengemukakan satu soalan terbuka: apakah lagu yang anda dengar apabila memandang sesebuah lukisan?
Tambah beliau, 12 seniman daripada pelbagai generasi dan latar, berpameran di Galeri PETRONAS ini mencerminkan ekologi seni visual Malaysia yang dinamik merangkumi kesinambungan tradisi moden serta penerokaan kontemporari yang bersifat interdisiplin telah berkerjasama dengan kurator jemputan, Jamal Afiq Datuk Jamaludin.
Antara tokoh penting yang diketengahkan ialah Dr Choong Kam Kow, seorang seniman multidisiplin Malaysia berusia 91 tahun, telah berkarya sejak era pra-kemerdekaan, dengan kerjaya seni yang merangkumi lebih tujuh dekad.
Dikenali sebagai “The Teacher” dalam kalangan generasi pendidik seni, akademik, dan tokoh-tokoh seni terkemuka di Malaysia, beliau dihormati bukan sahaja kerana karya-karyanya, tetapi juga sumbangannya sebagai pendidik dan pemikir yang membentuk landskap pendidikan seni negara.
Dengan latar pendidikan seni di Taipei dan New York, Dr Choong membawa gabungan unik antara tradisi Timur dan pendekatan Barat dalam praktik seninya.
Bahasa visual beliau yang reflektif dan struktural mencerminkan pengalaman budaya dan intelektual yang luas.
Karya-karyanya juga mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk penyertaan dalam koleksi The Metropolitan Museum of Art (The Met), New York.
Dalam pameran ini, kurator telah memilih karya Dr Choong dari tahun 1985 hingga 1994, termasuk siri “Rockscape” dan “Earthscape.”
Karya-karya ini lahir daripada pengalaman ekspedisi beliau ke Endau Rompin dan Taman Negara, serta memori zaman kanak-kanak beliau di Kinta, Perak.
Landskap yang digambarkan bukan sekadar representasi visual, tetapi medan pertemuan antara ingatan peribadi, pemerhatian alam, dan refleksi falsafah mengenai masa, bumi, dan kewujudan.
Melalui struktur geometri, kontras warna dan keseimbangan optikal, menghasilkan sensasi ritma yang menyerupai komposisi muzik minimalis.
Susunan visualnya seolah-olah bergerak dalam tempo terancang, seperti rangkaian not yang disusun kemas, mencetuskan pengalaman bacaan visual yang berlapis dan sistematik.
Keseluruhan karya Dr Choong Kam Kow menunjukkan kesinambungan pemikiran dan ketekunan seorang seniman yang merentasi zaman, menjadikannya sebagai rujukan penting dalam sejarah seni moden dan kontemporari Malaysia.
Sebaliknya, karya Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir merupakan seniman wanita (fine art artist) yang terkemuka menampilkan kehalusan warna dan struktur organik yang membentuk “melodi” visual yang lebih lembut dan harmonis.
Lapisan warna yang anggun menghadirkan suasana seakan alunan adagio perlahan, reflektif dan sarat dengan dimensi spiritual.
Pendekatan yang lebih senyap dan kontemplatif dapat dilihat dalam karya Datuk Tajuddin Ismail.
Komposisi minimalisnya mencipta ruang hening yang berfungsi seperti rest not dalam muzik - jeda yang memberi ruang renungan.
Dalam konteks pameran ini, karya beliau berperanan sebagai hentian meditatif yang mengajak pengunjung membaca makna melalui kekosongan dan keseimbangan abstrak.
Tenaga berbeza pula muncul melalui arca-arca karya Mad Anuar Ismail yang berasal daripada Terengganu.
Karya Mad Anuar mengangkat semangat kepahlawanan sering dizahirkan melalui tema-tema yang dekat dengan hatinya.
Rafiee Ghani dengan kecenderungan ekspresionis dan gerakan garisan yang dinamik, membebaskan warna sebagai satu bentuk gerak.
Karyanya menyerupai improvisasi jazz yang spontan, bebas dan kadangkala memberontak, namun tetap berlandaskan struktur dalaman yang kukuh.
Rafiee Ghani yang terkenal dengan keghairahan warnanya; percikan warna, tekstur dan jalinan permukaan menghasilkan kesan orkestrasi penuh, seolah-olah kanvasnya “bernyanyi” melalui ledakan emosi yang intens.
Naratif, Memori dan Geografi Emosi Chang Fee Ming, tokoh tersohor seni cat air kontemporari Malaysia, membawa dimensi naratif yang kuat ke dalam pameran ini.
Dikenali melalui visual yang kaya dengan warna, perincian dan kehidupan seharian, pendekatan beliau berakar daripada pengalaman pengembaraan merentas Asia.
Proses lakaran langsung di lokasi, interaksi bersama komuniti setempat serta pengumpulan objek budaya menjadi asas kepada penterjemahan visual yang menangkap roh sesuatu tempat.
“Setiap perjalanan saya bukan sekadar untuk melihat, tetapi untuk memahami. Saya melukis di tempat sebenar, hidup bersama komuniti setempat dan mengumpul objek-objek harian yang mencerminkan budaya mereka. Semua ini membantu saya merakam bukan sahaja rupa sesuatu tempat, tetapi juga jiwanya,” jelas Chang Fee Ming.
Dalam pameran ini, Chang Fee Ming memberi penghormatan kepada wanita-wanita yang ditemuinya sepanjang jelajah kepulauan Asia, menghubungkan figura tersebut dengan unsur bumi dan laut.
Digambarkan melalui rutin harian, wanita-wanita ini muncul sebagai nadi komuniti yang menjaga dan tonggak kehidupan yang sering tidak disedari.
Karya-karya ini menghadirkan “lagu-lagu sunyi” yang berakar pada memori geografi, sebuah balada lembut yang diam tetapi mendalam maknanya.
Manakala dalam bidang seni cetakan, karya Juhari Said menawarkan struktur ritma yang lebih tegas.
Teknik blok kayu yang berulang dan kontras gelap-terang menghasilkan kesan perkusif - ketukan visual yang konsisten dan berdaya naratif. Setiap potongan menjadi rentak yang mengukuhkan intensiti pengalaman pameran.
Sementara itu, seniman muda dari Tawau, Sabah, Chok Yue Zan, mempersembahkan realisme kontemporari yang terfragmentasi.
Lapisan imejnya mencipta kesan gema atau reverb, di mana visual berfungsi sebagai memori yang berganda, bukannya representasi tunggal.
Pendekatan berbeza ditampilkan oleh Dr Lyne Ismail, yang menggabungkan latar sains nanoteknologi dengan praktik seni halus.
Dalam tiga karya utamanya Second Intelligence, Fractal Diffraction/Cinta dan Monolife/Jiwa Dr Lyne meneroka kebijaksanaan dalaman, kesedaran emosi dan penyatuan spiritual.
Karya ini menghubungkan sains, emosi dan kerohanian dalam bahasa visual yang kontemplatif dan puitis.
Menurut Dr. Lyne Ismail, “Saya tidak cuba menggambarkan sains. Saya mengalaminya, dan membiarkan pengalaman itu membentuk karya.”
Perspektif Global dan Ledakan Visual Tiga karya Michelle Yap pula memperlihatkan pendekatan multidisiplin yang dipengaruhi pengalaman global.
Lulusan Central Saint Martins, London, Michelle menggabungkan falsafah Timur dengan teknik Barat, menghasilkan karya yang berani, optimistik dan berlapis dari segi tekstur serta warna. Sapuan kaligrafi, kontras kuat dan warna pop menjadi identiti visualnya.
Dalam pameran ini, dua karya beraksara Cina yang melambangkan Keberanian (勇) dan Ketenangan (舒) dipersembahkan sebagai refleksi nilai kehidupan yang saling melengkapi.
Karya Blooming Skies pula menutup pengalaman visual dengan nada cerah, menzahirkan harapan dan keseimbangan emosi.
Secara keseluruhan, karya Michelle menghasilkan “bunyi” visual yang bertenaga dan agresif seumpama hentakan dram atau petikan gitar elektrik yang mengisi ruang.

Dari kiri Jamal Afiq, Kerina Fauzi, Naib Presiden Hubungan Strategik dan Komunikasi PETRONAS, Ir Norafizal Mat Saad, M Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa.
M Nasir: Apabila muzik menjelma sebagai lukisan
Kemunculan Datuk M Nasir sebagai satu-satunya seniman berlatarbelakangkan muzik memberikan dimensi yang unik dan signifikan kepada pameran ini.
Buat pertama kalinya, karya catan beliau dipamerkan di Galeri PETRONAS — ruang yang selama ini sinonim dengan gema suaranya sebagai pemuzik dan penyanyi di Dewan Filharmonik PETRONAS.
Lulusan Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura, M Nasir mengemukakan bahasa visual yang simbolik, mistikal dan introspektif.
Warna bumi, struktur organik dan elemen spiritual membentuk satu suara batin yang kuat sebagai sebuah kesinambungan daripada dunia muzik yang telah lama membentuk identitinya.
Berbeza dengan seniman lain yang menggunakan muzik sebagai metafora, karya M Nasir sendiri berfungsi seperti lagu.
Garis-garis dalam lukisannya mengalir seperti melodi, manakala lapisan warna disusun seakan struktur muzik: nada rendah yang berterusan seperti drone bass, palet tanah sebagai mid-tone, dan cahaya sebagai not tinggi yang menyuluh makna.
Lukisan-lukisan ini tidak sekadar dilihat, tetapi dirasakan dan “didengar” secara intuitif.
Dalam konteks pameran ini, karya M Nasir menjadi jambatan paling jelas antara visual dan muzikal membuktikan bahawa kedua-duanya berkongsi akar yang sama: emosi, ingatan dan pengalaman manusia.
Dari melihat ke mengalami
Jamal Afiq, selaku kurator jemputan Galeri PETRONAS telah mengstrukturkan pameran ini bagi mengelakkan pembacaan sejarah yang kaku.
Sebaliknya, ia menggalakkan pengalaman multisensori, di mana karya seni berfungsi sebagai sumber resonans yang hidup.
Tambah Jamal, persoalan tentang “lagu” yang muncul ketika melihat lukisan bukan sekadar retorik, tetapi satu pendekatan epistemologi baharu untuk menggabungkan deria, emosi dan memori sebagai cara memahami seni.
Melalui inisiatif digital seperti #HearTheArt dan #GaleriPETRONAS, respons pengunjung membentuk satu arkib suara kolektif yang mencerminkan kepelbagaian tafsiran dan pengalaman.
Seni sebagai lagu kolektif
Pameran What Song Do You Hear When You See This Painting? bukan sahaja memperluas wacana seni visual Malaysia, malah membuka ruang dialog yang lebih inklusif antara seniman dan khalayak.
Dengan menghimpunkan pelbagai generasi dan pendekatan, pameran ini membuktikan bahawa seni hari ini bukan sekadar untuk dilihat tetapi untuk didengar, dirasa dan dihidupkan dalam imaginasi kolektif.
Jika sebuah imej sering dikatakan bernilai seribu kata, pameran ini membuktikan bahawa sebuah lukisan juga mampu melahirkan seribu lagu dan dalam konteks ini, karya M. Nasir mengingatkan kita bahawa muzik dan seni visual, pada dasarnya, berkongsi denyut yang sama.
Pameran What Song Do You Hear When You See This Painting? berlangsung sehingga 26 April 2026 di Galeri PETRONAS, di aras 3, Suria KLCC.
* Zahari Hamzah merupakan pengkritik dan pemerhati teater Malaysia yang aktif menulis tentang seni persembahan kontemporari, tubuh dan bahasa dalam konteks budaya Melayu moden.
Beliau pernah menulis dan mengarah beberapa muzikal serta dramatari di Dewan Filharmonik PETRONAS, antaranya Muzikal Pap Pandir, Demang Lebar Daun, Awang Sulung Merah Muda, Hanuman dan Puteri Intan Baiduri selain terlibat sebagai pelakon dan tenaga produksi teater tradisional Mak Yong dan Mek Mulung.
Beliau merupakan graduan Sarjana Pengajian Seni dari UPSI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


