Skip to main content

Bisnes

Taman perindustrian dengan sistem perlindungan banjir 100 tahun tarik keyakinan pelabur – NCT Alliance

Taman Perindustrian Pintar NCT Kuala Langat merupakan pembangunan industri pintar berfasa dengan Fasa 1 siap dan mula diserahkan kepada pemilik pada September 2026. - Foto NCT Alliance
Taman Perindustrian Pintar NCT Kuala Langat merupakan pembangunan industri pintar berfasa dengan Fasa 1 siap dan mula diserahkan kepada pemilik pada September 2026. - Foto NCT Alliance

Advertisement

Ringkasan AI

  • Pembangunan Taman Perindustrian Pintar NCT dengan sistem mitigasi banjir 100 tahun meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai destinasi pelaburan.
  • Kerugian akibat banjir di Selangor meningkat lebih dua kali ganda kepada RM52.9 juta pada 2025, menekankan keperluan infrastruktur berdaya tahan.
  • Pelabur kini menilai taman perindustrian berdasarkan daya tahan, teknologi pintar dan keupayaan menyokong pertumbuhan perniagaan jangka panjang.

KUALA LUMPUR: Pembangunan taman perindustrian yang dilengkapi sistem mitigasi banjir meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai destinasi pelaburan, khususnya bagi syarikat yang mengutamakan keselamatan aset dan kesinambungan operasi perniagaan.

Pengarah NCT Alliance Berhad, Sae-Yap Atthakovit berkata, Taman Perindustrian Pintar NCT (NCT Smart Industrial Park; NSIP) yang dibina turut dilengkapi terusan sepanjang 3.5 kilometer.

“Satu lagi ciri istimewa taman perindustrian ini yang mampu menarik minat pelbagai industri ialah sistem perlindungan banjir 100 tahun yang telah kami reka.

“Ia melibatkan pembinaan terusan sepanjang 3.5 kilometer dari awal hingga akhir, yang merupakan yang pertama seumpamanya,” katanya dalam program Investment Insider terbitan Astro AWANI yang dibawakan oleh Invest Selangor.

Kepentingan pembangunan infrastruktur berdaya tahan itu dapat dilihat berdasarkan statistik kerugian banjir negara yang terus memberikan kesan kepada aset awam, premis perniagaan dan aktiviti ekonomi.

Agenda AWANI: Taman perindustrian dengan sistem perlindungan banjir 100 tahun tarik keyakinan pelabur

Menurut Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada April lalu, jumlah kerugian akibat banjir di seluruh negara berkurangan kepada RM636.9 juta pada 2025, berbanding RM933.4 juta pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, kerugian melibatkan aset awam dan infrastruktur meningkat 25.3 peratus kepada RM380.2 juta, berbanding RM303.4 juta pada 2024, sekali gus menjadikannya kategori kerosakan yang mencatatkan kerugian tertinggi.

Di Selangor, jumlah kerugian akibat banjir meningkat lebih dua kali ganda daripada RM22.6 juta pada 2024 kepada RM52.9 juta pada 2025.

Daripada jumlah tersebut, kerugian aset awam dan infrastruktur di negeri itu meningkat kepada RM26.6 juta, berbanding RM13.8 juta pada tahun sebelumnya, memperlihatkan kepentingan memperkukuh daya tahan infrastruktur terhadap risiko banjir.

Dalam konteks pembangunan perindustrian, risiko banjir bukan sahaja melibatkan kerosakan fizikal terhadap bangunan dan peralatan, malah berpotensi menjejaskan rantaian bekalan, jadual pengeluaran serta keupayaan syarikat memenuhi komitmen kepada pelanggan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NCT Alliance Berhad, Ong Chou Wen berkata, keutamaan pelabur kini turut berubah apabila penilaian terhadap sesebuah taman perindustrian tidak lagi tertumpu kepada aset hartanah semata-mata, sebaliknya mengambil kira daya tahan dan keupayaan infrastrukturnya untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang perniagaan.

Image
Caption: Sebahagian kelengkapan dan kemudahan yang disediakan di Taman Perindustrian Pintar NCT mengikut gambaran juru reka. - foto/NCT Alliance

Sebahagian kelengkapan dan kemudahan yang disediakan di Taman Perindustrian Pintar NCT mengikut gambaran juru reka. - Foto NCT Alliance

“Pelabur kini tidak lagi menilai taman perindustrian semata-mata sebagai aset hartanah, sebaliknya melihat sama ada lokasi berkenaan mampu menyokong operasi perniagaan mereka untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Mereka mahukan jaminan bahawa infrastruktur yang disediakan mampu mengikuti perkembangan teknologi, memenuhi keperluan kelestarian dan terus menyediakan persekitaran yang menyokong aspirasi pertumbuhan perniagaan mereka,” jelasnya.

Menurut Ong, NSIP dibangunkan berasaskan kerangka Taman Perindustrian Terurus (Managed Industrial Park; MIP) yang diperkenalkan kerajaan Selangor, dengan penekanan terhadap pengurusan taman perindustrian secara bersepadu, keselamatan menyeluruh, dilengkapi kemudahan bersama serta menggunakan teknologi pintar.

“NSIP memberikan penekanan terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan memanfaatkan teknologi termaju, sistem pintar dan kecerdasan buatan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk perniagaan serta komuniti,” ujarnya lagi.

Bagi NSIP, gabungan sistem mitigasi banjir, pengurusan taman perindustrian bersepadu serta penggunaan teknologi pintar menjadi antara pendekatan NCT Alliance untuk meningkatkan daya saing pembangunan berkenaan dalam menarik pelabur tempatan dan antarabangsa.

Saksikan Investment Insider setiap Isnin, 9 malam, di saluran 501 Astro AWANI, yang mengupas secara mendalam tentang strategi, insentif dan inisiatif pelaburan kerajaan negeri Selangor.

Investment Insider: Reimagining the Industrial Park

Must Watch Video

Advertisement