KUALA LUMPUR : Kadar inflasi negara dijangka mencatat angka yang jauh lebih tinggi iaitu 10.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada Ogos 2022 sekiranya tanpa melibatkan pemberian subsidi kerajaan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, meskipun negara berdepan beberapa cabaran domestik dan global namun kerajaan terus tampil dengan beberapa dasar dan inisiatif bagi memulihkan ekonomi serta meringankan beban Keluarga Malaysia.

Tambah Ahli Parlimen Jeli itu lagi, Malaysia yang juga sebagai sebuah negara ekonomi kecil dan terbuka, tidak terkecuali daripada terkena tempias cabaran ekonomi global.

"Tanpa subsidi yang disediakan oleh Kerajaan, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan kadar inflasi negara jauh lebih tinggi, iaitu sebanyak 10.6 peratus berbanding dengan 4.7 pada bulan Ogos 2022.

"Pada tahun 2023, kesemua pakar ekonomi, termasuk daripada pertubuhan antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah.

“Malaysia, sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, tidak terkecuali daripada terkena tempias daripada cabaran ini. Langkah-langkah untuk menangani cabaran-cabaran ini akan diperincikan dalam Belanjawan 2023, katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang bertanyakan berhubung keadaan semasa cabaran ekonomi dalam dan luar negara.

Sementara itu, Mustapa turut menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kejatuhan nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika.

Ujarnya, pembayaran hutang dalam Dolar Amerika hanya membabitkan lima peratus.

"Hutang dalam Ringgit Malaysia. Jadi kalau hutang langsung kesannya kecil sekali, yang lain-lain mungkin swasta itu setengahnya ada hutang luar negara.

“Tapi ikut pandangan Bank Negara, kecairan bank kita adalah baik. Liputan rizab kita AS$106 bilion, cukup untuk menampung short term debt. Atau dengan perkataan lain, bagi hutang langsung kerajaan pusat, kesan kemerosotan sedikit kerana ia dalam nilai ringgit," katanya lagi.