BISNES
Tarif dimuktamad, namun kesan kepada permintaan sukar dinilai - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata, tarif baharu kini berada pada purata sekitar 18 peratus berbanding 10 peratus sebelum ini.
OSAKA: Permintaan global berisiko terjejas susulan peningkatan harga barangan akibat pelaksanaan tarif baharu Amerika Syarikat (AS).
Ringkasan AI
- Kenaikan tarif AS kepada purata 18 peratus berbanding 10 peratus sebelum ini berisiko menjejaskan permintaan global apabila syarikat tidak lagi mampu menyerap kos dan memindahkannya kepada pengguna, sekali gus mengurangkan jumlah pembelian.
- Beberapa sektor utama seperti semikonduktor dan farmaseutikal masih menikmati kadar sifar, namun kenyataan dasar AS yang mengelirukan menimbulkan kebimbangan, manakala sektor lain mula mengambil pendekatan pembelian awal untuk mengurangkan impak.
- Malaysia mengekalkan kadar tarif kompetitif dan menafikan dakwaan pengecualian tarif terhadap lebih 11,000 produk AS, namun ketegangan perdagangan mendorong semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara kepada 44.8 peratus bagi 2025, dengan AS kekal sebagai destinasi eksport terbesar Malaysia.
“Persoalannya, bolehkah pembeli menampung kos itu? Atau mungkin mereka mampu, tapi akan kurangkan jumlah pembelian.
“Ini akan beri kesan kepada permintaan,” jelas beliau dalam sidang media di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dunia 2025 di Osaka.
Menurut beliau, tarif baharu kini berada pada purata sekitar 18 peratus berbanding 10 peratus sebelum ini.
Situasi ini menyebabkan kebanyakan syarikat mengambil pendekatan ‘frontloading’ membawa masuk stok atau barang siap lebih awal bagi mengelakkan impak serta-merta.
“Banyak syarikat sebenarnya telah buat pembelian awal. Bawa masuk stok, malah barang siap. Jadi, sesetengah syarikat mampu tanggung hentakan itu berbanding terus memindahkan kos kepada pengguna
“Tapi bila stok semakin susut atau bahan mentah baharu mula masuk dan kesan rantaian bekalan datang, saya tidak pasti sama ada syarikat boleh terus serap kos,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa beberapa sektor utama seperti semikonduktor dan farmaseutikal masih menikmati kadar tarif sifar.
Namun kenyataan-kenyataan dasar yang mengelirukan dari pihak AS baru-baru ini tetap menimbulkan kebimbangan.
“Sektor E&E (elektrik & elektronik) dan semikonduktor buat masa ini baik, tetapi mereka tetap bimbang tentang kenyataan trauma yang dikeluarkan baru-baru ini, terutamanya sektor semikonduktor kerana sektor itu adalah tarif sifar. Sama juga dengan farmaseutikal,” katanya.
Tengku Zafrul berkata kadar baharu bagi Malaysia masih kompetitif jika dibandingkan dengan negara lain seperti Taiwan yang menetapkan kadar sekitar 20 peratus.
Namun, beliau turut mengakui terdapat risiko jangka pendek kepada beberapa sektor utama negara, terutamanya E&E dan farmaseutikal.
Beliau turut menjawab dakwaan bahawa lebih 11,000 produk AS diberi pengecualian tarif oleh Malaysia, menegaskan hanya 60 hingga 61 peratus produk dikenakan kadar sifar.
“Tuduhan bahawa lebih 11,000 tarif kita diberi kosong itu tidak betul. Kita hanya betulkan fakta, bukan mengkritik,” katanya.
Dalam isu nadir bumi, beliau menegaskan tiada sebarang persetujuan eksklusif atau penjualan terus kepada mana-mana negara.
Malaysia hanya membuka peluang kepada pelaburan di peringkat pertengahan dan hiliran, bukan huluan, katanya.
Kesan daripada ketegangan perdagangan ini juga mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara daripada 4.5 peratus –5.5 peratus kepada antara 4 peratus–4.8 peratus bagi tahun 2025.
Tengku Zafrul menegaskan bahawa meskipun keadaan semasa tidak dijangka mendorong Malaysia ke arah kemelesetan, kadar pertumbuhan akan tetap lebih perlahan daripada jangkaan asal.
“Kesan tarif ini mungkin tidak menyebabkan kemelesetan, tetapi kadar pertumbuhan yang dicapai akan menjadi lebih rendah,” katanya.
Beliau berkata perjanjian tarif timbal balik antara Malaysia dan AS yang berkuat kuasa mulai 8 Ogos telah meliputi enam bab utama, dengan maklum balas akhir telah diberikan oleh pihak Malaysia dan kini menunggu pengesahan bersama dari pihak AS.
Tambah beliau, AS mewakili kira-kira 15 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia dan masih merupakan destinasi eksport terbesar negara, dengan nilai eksport hampir RM200 bilion pada tahun 2024, dan 60% daripadanya datang daripada sektor E&E.
Namun beliau memberi amaran bahawa skala ekonomi AS yang mewakili hampir 27 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia bermakna sebarang kelembapan di sana akan memberi kesan besar secara global.
“Sesetengah negara mungkin lebih terkesan berbanding yang lain, bergantung kepada sejauh mana keterbukaan ekonomi mereka dan pergantungan kepada perdagangan dengan AS,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami