BANGI: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan, cabaran utama perkhidmatan awam masa kini bukan lagi kekurangan dasar atau perancangan, tetapi keupayaan memastikan setiap keputusan dilaksanakan dengan berkesan serta memberi impak nyata kepada rakyat.
Beliau berkata, jurang antara keputusan dan pelaksanaan perlu ditangani secara serius bagi membina sistem pentadbiran yang berfungsi, responsif dan dipercayai.
Advertisement
“Dalam banyak keadaan, inisiatif telah dilancarkan dan pelan telah dirangka, namun pelaksanaannya tidak disempurnakan sepenuhnya.
"Kelemahan ini bukan sahaja menjejaskan keberkesanan dasar, malah boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan perkhidmatan awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) ke-12, di sini, pada Selasa.
Azam berkata, selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan pendekatan Whole-of-Government (pendekatan pentadbiran yang menekankan kerjasama menyeluruh), kerajaan memberi penekanan kepada penyampaian berasaskan hasil, pengurangan kerenah birokrasi serta peningkatan kecekapan sistem penyampaian.
Beliau menambah, CeIO perlu tampil sebagai penggerak utama dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan berintegriti, dipantau secara sistematik dan benar-benar memberi nilai kepada rakyat.