BISNES
Tarif AS mungkin beri tekanan kecil terhadap inflasi ASEAN - RHBIB

RHBIB dalam nota penyelidikannya berkata tekanan inflasi sebahagian besarnya mereda di kebanyakan ekonomi utama ASEAN. - Adobe Stock Image
KUALA LUMPUR: Kadar tarif import Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi mungkin mengakibatkan inflasi di AS meningkat, tetapi bagi ASEAN, ia dijangka memberi sedikit kesan kepada tekanan harga.
RHB Investment Bank Bhd (RHBIB) dalam nota penyelidikannya berkata tekanan inflasi sebahagian besarnya mereda di kebanyakan ekonomi utama ASEAN.
Dalam laporan terbaharunya itu, bank pelaburan berkenaan telah menurunkan unjuran inflasi untuk Malaysia (daripada 2.2 peratus kepada 2.0 peratus), Singapura (daripada 1.6 peratus kepada 1.2 peratus) dan Thailand (daripada 0.6 peratus kepada 0.3 peratus) sambil mengekalkan unjuran inflasi Indonesia yang relatif rendah (2.0 peratus).
"Kami perhatikan momentum inflasi daripada perspektif tahun ke tahun (y-o-y) telah berkurangan dengan ketara kecuali bagi Indonesia, memandangkan harga komoditi utama seperti makanan dan tenaga telah menurun."Harga import pada asas bulan ke bulan (m-o-m) bagi Malaysia dan Singapura ialah negatif, sekali gus menekankan persekitaran inflasi yang relatif terkawal untuk ASEAN," katanya.
Sementara itu, RHBIB berkata pelaksanaan tarif oleh AS sedang membentuk semula aliran perdagangan global.
ASEAN yang memiliki pasaran buruh berdaya saing, lokasi strategik dan infrastruktur yang bertambah baik, semakin menjadi pemain utama dalam landskap yang sedang berkembang ini.
Bagi Malaysia pula, negara ini menikmati ekonomi bidangan yang kukuh dalam industri pembuatan dan eksport semikonduktor.
Ia juga pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia dan menyumbang 13 peratus daripada pasaran global untuk pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor, sekali gus menunjukkan kehadiran pasaran yang besar dan dominasi dalam cip global.
Lebih 95 peratus daripada eksport semikonduktor Malaysia ke AS berasal daripada firma AS yang beroperasi di negara ini.
Integrasi kemudahan Malaysia ini dalam rantaian bekalan AS khususnya oleh pemimpin industri seperti Intel dan Texas Instruments, menunjukkan gangguan yang ketara akan menjadi langkah yang merugikan untuk matlamat pembuatan AS.
"Bagaimanapun, dengan meningkatnya dasar perlindungan perdagangan AS, kita harus memikirkan tentang kebergantungan dan hubungan perdagangan yang boleh berubah di dunia tanpa dominasi AS," katanya.
Di dunia tanpa AS sebagai pemain utama dalam perdagangan global, ia berkata struktur kebergantungan perdagangan antarabangsa akan mengalami transformasi yang mendalam.
Banyak negara akan mencari sumber alternatif bagi produk yang sebelum ini banyak diimport dari AS, termasuk barangan pertanian, farmaseutikal dan elektronik berteknologi tinggi.
Sebagai contoh, negara-negara yang sebelum ini bergantung kepada eksport bijirin dan kacang soya AS mungkin boleh beralih kepada Brazil atau Argentina.
Pada masa yang sama, bekalan infrastruktur digital dan elektronik boleh beralih dengan memilih China, Korea Selatan atau EU.
Peralihan ini akan mempercepatkan proses pewilayahan perdagangan, dengan hubungan antara wilayah menjadi lebih menonjol apabila negara-negara mengutamakan kestabilan, kedekatan dan penjajaran politik dalam hubungan ekonomi mereka.
Di Asia sebagai contoh, perdagangan dalam ASEAN dan dengan China akan semakin rancak, disokong oleh mekanisme seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
"Secara keseluruhannya, ASEAN dengan tekanan harga yang berdaya saing, lokasi strategik dan infrastruktur yang semakin baik, bakal menjadi pemain utama dalam landskap yang sedang berkembang ini," kata RHBIB.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami