SEMPORNA: Pasukan tindak balas pemuliharaan marin yang diterajui komuniti berjaya menghapuskan lebih 1,300 tapak sulaiman mahkota berduri (COTs) daripada terumbu karang di sekitar Pulau Tabawan dan Pulau Adal di sini pada 1 dan 2 Jun, susulan laporan mengenai penularan spesies pemangsa itu.
Reef Check Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyelam dari Pulau Selakan, Pulau Larapan, Pulau Mabul dan Kunak digerakkan bagi menghapuskan 742 tapak sulaiman mahkota berduri di Tabawan dan 576 di Adal.
“Pemerhatian sepanjang operasi itu mendapati kebanyakan tapak sulaiman mahkota berduri di Tabawan tertumpu pada kedalaman antara 18 hingga 20 meter, berkemungkinan kerana banyak kawasan terumbu di kawasan cetek terjejas teruk akibat penularan terdahulu.
“Sebaliknya, majoriti COTs yang direkodkan di sekitar Pulau Adal ditemui di perairan cetek pada kedalaman antara satu hingga 10 meter, iaitu habitat karang yang masih sihat tetapi terdedah kepada ancaman pemangsaan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan tahap pemutihan karang di kedua-dua pulau masih berada di bawah 10 peratus. Namun, pasukan berkenaan turut mengeluarkan pukat hantu, sekali gus menunjukkan tekanan berterusan akibat sisa marin yang menjejaskan kesihatan terumbu karang di kawasan itu.
Sementara itu, Pengurus Program Kanan Reef Check Malaysia (Sabah) Adzmin Fatta berkata usaha pemuliharaan yang diterajui komuniti terbukti antara pendekatan paling berkesan untuk tindak balas pantas terhadap ancaman yang menjejaskan terumbu karang.
“Bagaimanapun, ia bukan penyelesaian sekali sahaja. Pemantauan berterusan dan tindakan balas pantas amat penting, khususnya di kawasan seperti Tabawan, Silumpat, Bakungan dan Adal yang berpotensi mengalami penularan berterusan.
“Reef Check Malaysia dan rakan-rakan pemuliharaan komuniti menggesa penyelam, pengusaha pelancongan dan komuniti pesisir di seluruh Sabah supaya melaporkan sebarang tanda pemutihan karang yang serius atau kehadiran luar biasa COTs bagi membolehkan usaha pengesanan awal dan tindakan segera,” katanya.
Dalam pada itu, penyelam Kumpulan Pemuliharaan Marin Kunak-Darvel Mohd Zaidi Morphy berkata komuniti tempatan perlu memainkan peranan penting dalam melindungi ekosistem marin.
“Sebagai penyelam komuniti, kami menghabiskan banyak masa di atas dan bawah permukaan air. Ini membolehkan kami mengesan ancaman lebih awal dan mengambil tindakan sebelum ia menjadi masalah yang lebih besar.
“Melindungi terumbu karang bukan sahaja penting untuk kelangsungan hidupan marin, malah bagi memastikan sumber pendapatan komuniti pesisir yang bergantung kepada lautan terus terpelihara,” katanya.
Terumbu karang yang sihat penting bagi sektor perikanan, pelancongan, perlindungan pesisir pantai dan biodiversiti. Justeru, tindakan awal dan kerjasama semua pihak penting bagi memastikan terumbu karang Sabah terus menyokong kehidupan marin dan komuniti setempat untuk generasi akan datang.
-- BERNAMA