BISNES
Tarif AS: Negara perlu runding perdagangan dua hala secara terus - Penganalisis

Chris Daniel Wong berkata era globalisasi yang bersifat kerjasama terbuka kini sudah berakhir. - Gambar fail/FB Chris Daniel Wong
KUALA LUMPUR: Negara-negara di dunia kini perlu berunding mengenai perdagangan dua hala secara terus tanpa bergantung kepada sebarang kerjasama blok atau pakat.
Ringkasan AI
- Perundingan Dua Hala: Negara-negara perlu berunding mengenai perdagangan dua hala secara terus tanpa bergantung kepada kerjasama blok atau pakat, kerana era globalisasi terbuka sudah berakhir.Zon Perdagangan Bebas: Zon perdagangan bebas seperti di Bayan Lepas, Pulau Pinang, penting untuk mengecualikan tarif dan memudahkan perdagangan langsung, contohnya dengan Amerika Syarikat.Manfaat Lawatan China: Lawatan rasmi Presiden China ke Malaysia perlu dimanfaatkan untuk rundingan terus bagi mendapatkan pelaburan tambahan, yang sebaiknya disalurkan kepada koperasi besar dalam negara.
“Zaman globalisasi sudah berakhir. Mahu atau tidak kita perlu terima hakikat bahawa globalisasi sudah berakhir. Apabila kita berdepan dengan nyahgandingan ini kita perlu runding kadar tarif secara langsung.
“Oleh itu, zon perdagangan bebas ini adalah penting. Contohnya, zon perdagangan bebas Bayan Lepas, Pulau Pinang yang mengecualikan tarif kepada semikonduktor kerana pada tahun 2002 kita telah meterai pejanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat.
“Apabila kita ada perjanjian sebegini kita boleh berdagang secara langsung. Ini ialah masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Tarif AS: Negara perlu runding perdagangan dua hala secara terus - Penganalisis
Sementara itu, dalam temu bual sama, Presiden Kebangsaan Persatuan Pengusaha Kecil & Sederhana Malaysia (SME Malaysia), Chin Chee Seong pula berpandangan, lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada 15 April ini perlu dimanfaatkan bagi tujuan rundingan terus untuk manfaat negara."Ini peluang yang baik untuk Malaysia berbincang dengan China mengenai cara untuk membolehkan Malaysia mendapatkan pelaburan tambahan.
"Ketika ini, Amerika Syarikat telah menyekat pelaburan dari China. Pelaburan China di Amerika Syarikat adalah sangat besar.
"Maka kalau pelaburan itu keluar dari pasaran Amerika Syarikat, ini memberi peluang kepada Malaysia,” ujarnya.
Beliau mencadangkan agar pelaburan dan suntikan kewangan baharu daripada China tidak tertumpu kepada syarikat-syarikat mega sahaja, sebaliknya wajar dialirkan kepada koperasi-koperasi besar dalam negara.
AS mengumumkan pelaksanaan tarif import kepada hampir semua negara dengan kadar asas 10 peratus, manakala Malaysia pada kadar 24 peratus, namun ia ditangguhkan untuk 90 hari bermula Rabu susulan arahan baharu Presiden Donald Trump.
Dialog Poket Rakyat: Tarif timbal balik | Impak PMKS & pengguna
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami