BUSINESS
Tarif Trump: Malaysia perlu terus meneroka ruang perdagangan baharu - Amir Fareed

Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim berkata, dalam mendepani setiap krisis yang berlaku, negara perlu bijak merebut peluang lain. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia harus terus bijak meneroka ruang pasaran baharu dengan negara-negara yang bukan rakan perdagangan tradisional negara.
Ringkasan AI
- Malaysia harus bijak meneroka ruang pasaran baharu dengan negara-negara yang bukan rakan perdagangan tradisional seperti Timur Tengah, Latin Amerika, dan Afrika.
- Kerajaan dan agensi berkaitan perlu lebih agresif dan proaktif dalam menggunakan peluang yang ada melalui perjanjian perdagangan bebas untuk melindungi syarikat yang terkesan dan mengembangkan sektor yang tidak bergantung kepada AS.
- Malaysia telah mempelbagaikan pasaran eksport ke negara lain seperti Kenya, Oman, Namibia, Angola, Ethiopia, Mesir, dan Algeria untuk menangani pelaksanaan tarif yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
‘’Jadi saya rasa untuk Malaysia kita telah mula meneroka perdagangan dengan negara-negara yang bukan rakan dagang tradisional kita, seperti pasaran Timur Tengah, pasaran di Latin Amerika, pasaran di Afrika jadi perkara itu sudah dilakukan setahun dua tahun yang lalu.
‘’Jadi saya rasa untuk pembuat untuk agensi kerajaan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Ekonomi dan Kewangan harus lebih agresif dan proaktif dalam memastikan kita menggunakan setiap peluang yang ada dalam agreement free trade kita.
‘’Seterusnya untuk memastikan sektor-sektor yang tidak bergantung kepada AS harus terus dikembangkan dan pasaran-pasaran baharu diterokai secara langsung,’’ katanya.
Amir Fareed berkata demikian kepada Astro AWANI sempena Persidangan Pelaburan ASEAN di ibu negara, pada Selasa.
Pada Ahad, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia sudah mengambil langkah ke depan dalam menangani pelaksanaan tarif yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Rabu lalu.
Langkah itu ujarnya, diambil ekoran Malaysia sudah menjangkakan potensi kenaikan tarif berkenaan.
Tambahnya, Malaysia telah mempelbagaikan pasaran eksport ke negara lain.
Ini termasuk Kenya, Oman dan Namibia bermula tahun lalu dan berjaya mencapai rekod baharu di samping Angola dengan lonjakan 59.3 peratus diikuti Ethiopia (56.4 peratus), Mesir (53.6 peratus) serta Algeria (27.9 peratus).
Sebelum ini, Trump mengumumkan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.
Trump turut mengumumkan tarif timbal balik yang tinggi terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah (20 peratus), Vietnam (46 peratus), Sri Lanka (44 peratus), Kemboja (49 peratus), Laos (48 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami