BUSINESS
Tarif Trump: MITI ambil alih pengeluaran sijil eksport kepada AS mulai esok

Tengku Zafrul berkata tindakan tersebut dilakukan bagi menangani isu penyalahgunaan laluan dagangan dengan menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk dan keluar barangan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menjadi satu-satunya pihak yang diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) bagi tujuan eksport ke Amerika Syarikat (AS), berkuat kuasa 6 Mei (esok).
Ringkasan AI
- MITI akan menjadi satu-satunya pihak yang mengeluarkan Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) untuk eksport ke AS mulai 6 Mei.
- Dasar fiskal negara akan dilaksanakan secara berhemah termasuk penyasaran subsidi RON95 dan perluasan skop SST.
- Ketua Pembangkang menyarankan penangguhan dasar fiskal yang dijangka membebankan pengguna, termasuk penarikan subsidi RON95 dan kenaikan tarif elektrik.
Tegas beliau, Malaysia menolak keras sebarang penyalahgunaan sistem perdagangan antarabangsa termasuk sijil asal atau Certificate of Origin (CO) palsu dan mengelirukan, dengan tujuan mengelak tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
"Untuk makluman dewan ini, CO bagi negara yang ada FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) dengan Malaysia dikeluarkan oleh MITI.
"Bagi negara yang tiada FTA dengan Malaysia, contohnya AS, kita ada non-preferential CO (NPCO) yang dikeluarkan oleh dewan-dewan perniagaan.
"Namun, berikutan dakwaan ini (penyalahgunaan sijil asal) dan untuk meningkatkan kawalan, MITI akan mengambil alih pengurusan pengeluaran NPCO khusus untuk destinasi AS.
"Jadi, mulai esok kita tidak akan benarkan lagi dewan-dewan perniagaan untuk mengeluarkan NPCO ini kerana banyak saya dengar aduan daripada pihak-pihak industri yang mengatakan banyak barangan dari negara lain dicop seperti datang dari kita.
"Ini bermakna NPCO untuk AS akan yang selalu dikeluarkan oleh dewan perniagaan tidak lagi akan dibenarkan, dan permohonan bagi CO melibatkan AS akan dipusatkan di bawah MITI," katanya.
Pada sesi sama, Tengku Zafrul juga memaklumkan sebarang dasar fiskal negara yang dirancang, akan dilaksanakan secara berhemah termasuk melibatkan penyasaran subsidi RON95 dan perluasan skop Cukai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Katanya, asas ekonomi negara masih lagi kukuh dan defisit fiskal telah dikurangkan daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 4.1 peratus pada 2024.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerajaan sentiasa memantau keadaan global dan akan menyesuaikan pelaksanaan dasar, jika perlu.
"Jadi memandangkan keberkesanan reformasi ini adalah penting untuk kita meneruskan langkah pembaharuan fiskal, demi memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara dan mewujudkan ruang fiskal mencukupi untuk masa depan.
"Jadi penyasaran subsidi RON95, pelaksanaan e-Invois dan perluasan SST akan dilaksanakan secara berhemah agar tidak membebankan rakyat biasa.
"e-Invois pula menyasarkan pengurangan ketirisan akibat ketidakpatuhan cukai. Jika kerajaan menyimpang daripada pengurusan fiskal yang bertanggungjawab, ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan mengundang risiko kepada kestabilan mikro ekonomi," ujar Tengku Zafrul.
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyarankan agar kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar fiskal negara yang dijangka memberi tekanan dan membebankan pengguna susulan pengumuman tarif oleh AS.
Menurut Ahli Parlimen Larut itu, penangguhan tersebut termasuk penarikan subsidi RON95 yang dijadual berkuat kuasa pada Jun, dan kenaikan tarif elektrik pada Julai ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami