KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes tetak menggunakan senjata tajam di sebuah kedai minum di Triang, Bera pada 29 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Bera Superintenden Zulkiflee Nazir berkata suspek berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Advertisement
“Polis sedang giat menjalankan risikan dan operasi bagi mengesan tujuh lagi suspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata suspek telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama lima hari hingga 9 April ini bagi membantu siasatan lanjut.
Zulkiflee berkata mangsa yang terlibat dalam kejadian itu masih menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh akibat kecederaan parah yang dialami.
Sementara itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek yang masih bebas untuk menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhamad Zulhilmi Ishak menerusi talian 014-2250306 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Bera melalui talian 09-250 8222 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA