BISNES
Tarif Trump: Proses rundingan tidak boleh dianggap gagal - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata proses perbincangan dan libat urus masih berjalan secara konstruktif. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan bahawa rundingan berhubung tarif timbal balas sebanyak 25 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) tidak boleh dianggap gagal.
Ringkasan AI
- MITI menegaskan rundingan dengan Amerika Syarikat berhubung tarif balas 25% masih berjalan secara konstruktif dan tidak dianggap gagal.
- Malaysia terus menyokong prinsip multilateralisme dan sistem perdagangan berasaskan peraturan, dengan WTO sebagai teras utama.
- Menteri Tengku Zafrul yakin rundingan berada di landasan positif dan menjangkakan kemungkinan tinggi untuk capai kesepakatan.
Jelas beliau lagi, ini bukan berkaitan kegagalan rundingan atau krisis yang dihadapi Malaysia mahupun dunia, tetapi merupakan sebahagian daripada dinamika perdagangan global semasa.
"Antara hari ini dan 1 Ogos, MITI akan terus berlibat urus dengan wakil Perdagangan AS dan Setiausaha
Perdagangan serta pegawai mereka mengenai perkara-perkara yang masih tertunggak," kata Tengku Zafrul dalam sidang media di Menara MITI di sini pada Rabu.
Dalam masa sama, Tengku Zafrul menyatakan keyakinan bahawa rundingan perdagangan yang sedang berlangsung masih berada di landasan yang positif.
Beliau mengakui terdapat beberapa isu kecil yang boleh diselesaikan dengan mudah.
“Jika diberi pilihan 50-50, saya lebih cenderung kepada lebih 50 peratus kemungkinan untuk kita mencapai kesepakatan," katanya.
Mengulas lanjut, dari segi sektor tertentu, Tengku Zafrul berkata rundingan yang dibuat adalah mengenai produk perindustrian merangkumi sektor seperti jentera dan peralatan, produk kimia dan berasaskan kimia, peranti perubatan, besi dan keluli, aluminium, plastik, automotif, dan sektor elektrik & elektronik (E&E).
Bagi produk pertanian pula, katanya rundingan tertumpu pada buah-buahan, bijirin dan beras, ayam daging hidup dan telur, daging, susu dan produk tenusu, serta alkohol.
"Terdapat juga dakwaan mengenai halangan bukan tarif yang dirundingkan termasuk isu pensijilan halal.
"Strategi perundingan Malaysia mengenai produk pertanian adalah keseimbangan pragmatik antara kesihatan awam dan timbal balik. Secara umumnya, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelaraskan pelbagai langkah, termasuk penerimaan pensijilan kawal selia Amerika untuk produk makanan tertentu," katanya lagi.
Mengenai isu berasaskan alam sekitar dan buruh, Tengku Zafrul berkata Malaysia telah bersetuju untuk meningkatkan perlindungan alam sekitarnya selaras dengan komitmen global serta piawaian buruh antarabangsa.
Bagi perdagangan digital, Malaysia juga komited untuk memudahcara pendigitalan dalam perdagangan, dan menggalakkan aliran data rentas sempadan yang selamat bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.
AS mengenakan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas sebarang dan semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, berasingan daripada semua tarif sektor.
Angka tersebut merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang diumumkan pada April lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami