BISNES
Tawaran konsesi Malaysia tidak babit komitmen fiskal walau satu sen - Tengku Zafrul

Tawaran perolehan dalam rundingan tarif Malaysia dengan AS hanya melibatkan komitmen syarikat swasta dan GLC, tanpa melibatkan dana awam, kata Tengku Zafrul. - Gambar Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa konsesi yang ditawarkan kepada Amerika Syarikat dalam mencapai kadar tarif 19 peratus, tidak menjejaskan fiskal dan menambah hutang negara, serta tidak menggunakan dana awam.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pasukan rundingan dengan kelulusan Kabinet telah mengguna pakai strategi kekuatan awam-swasta, dengan memastikan perlindungan terhadap dasar utama negara.
Tambahnya lagi, komitmen yang diberikan dalam sebarang pelaburan atau pembelian hanya melibatkan syarikat multinasional dalam industri semikonduktor, aeroangkasa dan pusat data dengan nilai AS$150 bilion.
“Angka ini harus dilihat dalam konteks lebih besar, berlandaskan perspektif ekonomi mikro, walaupun jumlah keseluruhan besar, tapi komitmen ini berfasa dalam tempoh antara lima hingga sepuluh tahun."Ia bersifat transaksi komersial serta pelaburan syarikat dan GLC (syarikat berkaitan negara), bukan satu aliran keluar sekali gus.
“Yang sama penting, perolehan tak membabitkan komitmen fiskal walau satu sen pun daripada kerajaan. Jadi dari sudut ekonomi, jumlah ini adalah perbelanjaan setara dengan syarikat dan korporat GLC utama negara setiap tahun, sama ada untuk pembelian bahan mentah, pelaburan teknologi ataupun pembaharuan,” katanya lagi.
Mengambil contoh pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG), Tengku Zafrul berkata, transaksi bernilai AS$19 bilion itu adalah berperingkat sehingga 2035, bersamaan dengan komitmen 13.5 peratus perbelanjaan sektor swasta negara bagi tahun 2024.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.
Terdahulu, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan, ingin mengetahui langkah-langkah yang telah diambil kerajaan untuk mencapai hasil rundingan tarif iaitu sebanyak 19 peratus yang kini diketahui umum dan apakah konsesi yang ditawarkan oleh Malaysia kepada Amerika Syarikat.
Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, Malaysia menawarkan konsensus tarif berbentuk penghapusan atau pengurangan cukai terhadap hampir 98.4 peratus produk Amerika Syarikat, dengan 60.4 peratus dikenakan kadar duti sifar.
“Daripada jumlah ini, 60.4 peratus baris tarif pada kadar duti sifar. Selebihnya melibatkan kurang kadar duti sehingga maksimum 15 peratus. Jadi kadar duti sifar yang dilaksanakan pada 60.4 peratus jauh lebih rendah banding beberapa negara lain yang dikenakan tarif timbal balas pada kadar yang hampir sama.
“Ketiga, Kerajaan juga telah memudahcara halangan bukan tarif yang membabitkan pensijilan halal ikut ketetapan JAKIM, fasilitasi produk daging dan tenusu Amerika, serta penambahbaikan aspek pematuhan buruh, alam sekitar dan juga hak harta intelek,” jelasnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami