KUALA LUMPUR: MIDF Research menjangkakan tekanan harga ke atas pengeluar tempatan akan berkurangan memandangkan aktiviti rantaian bekalan telah bertambah baik berikutan penurunan dalam Baltic Dry Index dan pembetulan harga komoditi baru-baru ini.

Sehubungan itu, prospek inflasi indeks harga pengguna (IHP) lambat laun akan mereda kerana firma dijangka memutuskan untuk berhenti menaikkan harga jualan ekoran penurunan inflasi indeks harga pengeluar, sekali gus mengurangkan tekanan kos, katanya dalam nota hari ini.

Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meningkat 6.8 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2022.

"IHPR bagi bahan mentah telah menguncup buat kali pertama sejak Januari 2021 akibat daripada penurunan harga bahan bukan makanan," katanya.

MIDF Research berkata inflasi IHPR untuk bahan perantaraan juga berkurangan kepada +10.3 peratus tahun ke tahun, walaupun isyarat pertumbuhan dua angka yang mampan terus mengalami tekanan daripada kenaikan harga input dalam sektor pembuatan.

Firma penyelidikan itu turut menyatakan pembetulan dalam harga minyak mentah dan gas global telah membawa kepada penyederhanaan mendadak dalam inflasi IHPR bagi sektor perlombongan (+5.8 peratus tahun ke tahun), peningkatan paling perlahan dalam 17 bulan.

Sementara itu, inflasi yang berkurangan untuk bahan mentah dan barang pengantara (pada +9.4 peratus tahun ke tahun) menyaksikan inflasi IHPR yang lebih rendah bagi sektor pembuatan.

"Harga pengeluar dalam industri perhutanan pertanian dan perikanan jatuh sebanyak -10.6 peratus tahun ke tahun, penurunan bagi bulan kedua berturut-turut, menjejaki harga komoditi global yang lebih rendah.

"Bekalan air dan bekalan elektrik dan gas masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak +3.0 peratus tahun ke tahun dan +0.9 peratus tahun ke tahun, yang menyumbang kepada inflasi IHPR yang positif pada Ogos 2022," tambahnya.

-- BERNAMA