KUALA LUMPUR: Malaysia telah membincangkan aspek pengukuhan industri kewangan dan daya tahan ekonomi dengan pelbagai menteri-menteri kewangan yang hadir di Mesyuarat-Mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia-IMF yang berlangsung di Amerika Syarikat sepanjang minggu ini, kata Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau juga telah turut dijemput untuk menyertai perbincangan yang diadakan sempena mesyuarat kedua Menteri Kewangan G20 dan Gabenor Bank Pusat dan Bank Dunia-IMF (G20 FMCBG).

Mesyuarat-Mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia-IMF pada tahun ini dipengerusikan bersama oleh Indonesia dan Finland.

Menurutnya, beliau juga berkesempatan bertemu dengan Menteri Kewangan Indonesia, Ibu Sri Mulyani Indrawati dan Tuan Lawrence Wong, Menteri Kewangan mewakili Singapura, yang juga telah dijemput ke mesyuarat tersebut oleh Indonesia selaku Pengerusi Bersama G20.

"Saya juga sempat membincangkan perkara-perkara seperti pembangunan kewangan yang mampan, kedudukan ekonomi sejagat, kesediaan pandemik dan pasca pandemik bersama Ibu Sri Mulyani dan Tuan Lawrence," kata Tengku Zafrul.

Perbincangan G20 FMCBG pula merangkumi tinjauan ekonomi global, termasuk kesan ekonomi daripada ketegangan geopolitik yang kini telah menyebabkan inflasi yang lebih tinggi akibat harga komoditi yang telah melonjak naik. Selain itu, mesyuarat tersebut juga membincangkan strategi keluar dan dasar-dasar bagi menangani kesan jangka panjang pandemik COVID-19.

Hal-hal lain yang turut dibincangkan termasuklah keperluan untuk menubuhkan mekanisme kewangan baharu untuk pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap pandemik pada masa depan.

Menteri-menteri kewangan dan gabenor-gabenor bank pusat juga dijemput untuk membincangkan usaha memperkukuhkan daya tahan kewangan global, Jaringan Keselamatan Kewangan Global serta keperluan untuk menyediakan rangka kerja peralihan kewangan ke arah agenda kelestarian dan meningkatkan kredibiliti komitmen institusi kewangan terhadap usaha ini.

"Secara keseluruhan, saya amat berbesar hati kerana dapat mewakili Malaysia dan seluruh Keluarga Malaysia dalam membawa negara ke arah masa depan yang lebih baik.

"Saya juga percaya di sebalik situasi yang tidak menentu ini, kesemua negara lebih terbuka kepada kerjasama pelbagai hala untuk manfaat dan kesejahteraan manusia sejagat," katanya.

Sidang Kemuncak G20 yang akan dipengerusikan oleh Indonesia bagi tahun 2022 bakal berlangsung di Bali, Indonesia, pada November ini.

-- BERNAMA