BISNES
[TERKINI] BNM turunkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus
![[TERKINI] BNM turunkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus [TERKINI] BNM turunkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/51751268313_BankNegaraMalaysia.jpg)
BNM berkata keputusan dibuat sebagai langkah awal untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara dalam persekitaran inflasi yang sederhana. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.
Ringkasan AI
- BNM menurunkan OPR kepada 2.75% sebagai langkah awal untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran inflasi sederhana; kadar siling dan lantai turut dikurangkan kepada 3% dan 2.5%.
- Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal stabil, disokong oleh permintaan domestik, eksport yang kukuh, serta pelaburan sektor awam dan swasta berbilang tahun.
- Inflasi kekal terkawal dengan purata 1.4% (keseluruhan) dan 1.9% (teras); dijangka sederhana sepanjang 2025 berikutan kos global yang stabil dan tiada tekanan permintaan berlebihan.
"Pengurangan OPR ini merupakan langkah awal yang bertujuan untuk mengekalkan laluan pertumbuhan yang stabil bagi Malaysia dalam unjuran inflasi yang sederhana," katanya.
MPC akan terus berwaspada terhadap perkembangan semasa dan menilai keseimbangan risiko yang boleh mempengaruhi unjuran pertumbuhan dan inflasi dalam negara.
BNM turut menyatakan faktor petunjuk global terkini menunjukkan pertumbuhan ekonomi dunia terus berkembang, disokong oleh perbelanjaan pengguna, pasaran buruh yang sihat, serta dasar fiskal dan monetari yang menyokong.
Tambahnya, pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua dijangka diteruskan, didorong oleh permintaan domestik dan eksport yang memberangsangkan.
“Pertumbuhan dijangka disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, serta pengembangan aktiviti pelaburan daripada projek berbilang tahun sektor awam dan swasta,” katanya.
Perbelanjaan isi rumah pula dijangka terus kukuh dengan pertumbuhan pekerjaan dan gaji, terutamanya dalam sektor berorientasikan domestik, disokong langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan.
“Inflasi kekal terkawal dengan purata 1.4% (inflasi keseluruhan) dan 1.9% (teras) dalam lima bulan pertama tahun ini.
“Secara keseluruhan, inflasi pada tahun 2025 dijangka kekal sederhana, memandangkan kos global yang terkawal dan ketiadaan tekanan permintaan domestik yang berlebihan,” katanya.
Untuk rekod, BNM telah mengekalkan kadar OPR kepada 3.0 peratus selama 13 mesyuarat berturut-turut sejak Mei 2023.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami