KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) telah memberikan lanjutan masa kepada TH Heavy Engineering Bhd sehingga 22 Ogos 2022 untuk menyerahkan pelan penyusunan semulanya kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan kelulusan.

Syarikat itu mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities pada 9 Disember 2021 berhubung keputusan untuk nyahsenarai dan menimbang semula keputusannya untuk memberi lanjutan masa lagi, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia semalam.

"Selepas pertimbangan sewajarnya ke atas semua fakta dan keadaan rayuan yang dikemukakan oleh syarikat pada 9 Disember lalu, Bursa Securities memutuskan untuk membenarkan rayuan dan memberikan syarikat lanjutan masa sehingga 22 Ogos 2022 untuk menyerahkan pelan regularisasi kepada pihak yang berkaitan pihak berkuasa untuk kelulusan," katanya.

Pemain industri minyak dan gas itu tergelincir dalam status Nota Amalan 17 (PN17) sejak April 2017 dan sudah beberapa kali menerima lanjutan bagi mengemukakan pelan penyusunan semula.

Ia menjadi penerbit terjejas selepas juruauditnya menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan terauditnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, kerugian bersih TH Heavy Engineering mengecil kepada RM9.99 juta berbanding RM45.32 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan susut kepada RM2.1 juta daripada RM8.14 juta.

Untuk tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021, kerugian bersihnya berjumlah RM15.78 juta daripada RM56.29 juta manakala pendapatan merosot kepada RM9.36 juta berbanding RM61.92 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com