KUALA LUMPUR: Langkah mengurangkan pergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai mata wang rizab utama dan mata wang transaksi bagi perniagaan antarabangsa boleh memberikan kesan positif terhadap ekonomi Malaysia, kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi, Lee Heng Guie.

Beliau berkata tindakan itu akan melonjakkan hubungan perdagangan negara dengan rakan dagang menerusi penggunaan mata wang tempatan sebagai penyelesaian perdagangan.

"Malaysia mahu meningkatkan penggunaan ringgit dengan rakan dagangnya sebagai sebahagian strategi untuk menyokong ringgit dan mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS," katanya ketika sesi panel semasa majlis pelancaran produk kontrak niaga hadapan USD/CNH Mini (FCNH) oleh Bursa Malaysia Derivatives Bhd di sini, semalam.

Beliau berkata walau bagaimanapun, tindakan itu mungkin mempengaruhi kadar dasar semalaman dan inflasi secara negatif.

Jika pengurangan dolar yang sangat mengganggu berlaku, ekonomi AS akan terjejas dan seterusnya menimbulkan banyak kesan terhadap negara lain juga, katanya.

"Saya berpandangan akan berlaku kesan ketara terhadap pelabur modal memandangkan mereka hilang keyakinan, dan sentimen pelabur juga akan terjejas ekoran kebimbangan mengenai langkah pengurangan dolar dalam pasaran global," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan disambut baik oleh khususnya oleh China dan negara-negara ASEAN iaitu Indonesia dan Thailand.

Beliau berkata sebanyak 25 peratus daripada jumlah perdagangan dengan China menggunakan ringgit, berjumlah RM39.2 bilion dalam ringgit dan renminbi, daripada sejumlah RM157 bilion.

Sehingga Ogos, 16.7 peratus daripada jumlah perdagangan dengan Indonesia menggunakan ringgit dan rupiah dengan berjumlah RM10.7 bilion, manakala perdagangan dengan Thailand, 19.6 peratus daripada jumlah dagangan menggunakan ringgit dan baht, berjumlah RM8.2 bilion, katanya.

Lee berkata justeru, semua angka itu menunjukkan bahawa lebih ramai peserta pasaran dijangka mempelbagaikan aset dan pelaburan mereka, dan memilih menggunakan mata wang tempatan dua hala secara langsung untuk mengurangkan risiko.

-- BERNAMA