BALI: Tenaga Nasional Bhd (TNB) bercadang meningkatkan pelaburan peralihan tenaga sebanyak enam kali ganda.

Peruntukan TNB bagi ET untuk tempoh 2018 hingga 2024 berjumlah RM6 bilion berbanding RM45 bilion yang diperuntukkan bagi grid domestik.

Kini, kumpulan itu berhasrat membuat pelaburan kira-kira RM90 bilion dalam masa lima tahun dari 2025 hingga 2030 untuk grid nasional dengan RM35 bilion akan diperuntukkan kepada pelaburan berkaitan ET, manakala baki RM54 bilion untuk pelaburan bukan ET.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baharin Din berkata, TNB berhasrat untuk mempercepat peningkatan kapasiti TBB bagi mengelakkan kesesakan yang dijangka berlaku dalam pasaran matang yang boleh melewatkan peningkatan TBB berikutan baris gilir sambungan projek angin dan solar berkembang untuk merekodkan saiz.

"Kesesakan ini boleh dilihat di seluruh United Kingdom dan Eropah, malah di Amerika Syarikat berikutan baris gilir sambungan grid bagi projek angin dan solar adalah antara 50 dan 200 gigawatt.

"Sehubungan itu, di Malaysia, kita ingin memastikan bahawa kita membina infrastruktur hijau lebih awal supaya dapat mengelakkan kesesakan dalam penggunaan TBB," katanya dalam sesi bertajuk 'Saling Hubungan Grid Kuasa Asean (APG): Meningkatkan Usaha Asean Bagi Memajukan Keterhubungan Serantau Dengan Merealisasikan Potensi Pelaburan' pada Forum Perniagaan Tenaga Asean (AEBF), di sini, pada Khamis.

Baharin turut memberi penekanan kepada kepentingan kesalinghubungan serantau berikutan tiada negara mampu mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih secara bersendirian.

Menurutnya, berikutan peralihan Asean kepada sifar bersih, permintaan terhadap elektrik dijangka menyaksikan pertumbuhan hampir tiga kali ganda di Malaysia dan lima kali ganda di rantau ini menjelang 2050, dan permintaan ini diramalkan melibatkan tenaga bersih.

Berikutan terdapat keperluan segera untuk bekerjasama bagi mengoptimumkan sumber di Asean di samping mengimbangi trilema ini, TNB melaksanakan pelbagai usaha untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara jiran sekali gus berharap mampu mempercepat usaha menerusi APG, kata Baharin.

"Kesalinghubungan dalam kalangan negara anggota Asean membuka laluan kepada pelaburan baharu dengan unjuran saiz pasaran melebihi AS$6.3 trilion (AS$1=RM4.64) daripada 2018 hingga 2050.

"Pada 2021, negara anggota Asean telah mengumumkan sasaran pelepasan sifar karbon bersih bagi negara masing-masing," katanya.

TNB akan memeterai Memorandum Persefahaman esok (25 Ogos) dengan syarikat elektrik Indonesia PT PLN (Persero), SP Group Singapura dan Pusat Tenaga Asean (ACE) bagi meninjau kesalinghubungan rentas sempadan antara negara.

TNB juga sedang menjalinkan kerjasama dengan Electricity Generating Authority of Thailand (EGAT), Electricite du Laos (EDL) dan Vietnam Electricity (EVN) untuk mempercepat pembangunan infrastruktur kesalinghubungan di samping meninjau peluang pelaburan baharu TBB.

AEBF, persidangan dan pameran rasmi Asean berkenaan tenaga yang menghimpunkan penggubal dasar serantau dan antarabangsa peringkat tinggi serta penggiat perniagaan utama, dianjurkan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean (AMEM) yang diadakan secara tahunan. - BERNAMA